GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kerajaan bersetuju mengekalkan kadar purata tarif elektrik asas yang dikenakan kepada pengguna di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, kerajaan juga bersetuju melepaskan penjimatan daripada mekanisme kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM766.33 juta melalui rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWj di Semenanjung kepada semua pengguna kecuali pengguna yang menggunakan elektrik bulanan di bawah 300kW/j dan ke bawah.

Beliau berkata, bagi Sabah dan WIlayah Persekutuan Labuan pula, rebat sebanyak 1.20 sen/kWj turut diberikan kepada pengguna dalam kategori yang sama.

"Dengan pengekalan rebat oleh kerajaan itu, pengguna tidak akan membayar bil elektrik yang lebih tinggi sekiranya jumlah penggunaan elektrik adalah sama," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, sehingga kini, jumlah keseluruhan rebat bil elektrik yang dinikmati oleh pengguna-pengguna ialah RM4.09 bilion di Semenanjung dan RM126.26 juta di Sabah yang mula diberikan sejak 1 Mac 2015 sehingga 30 Jun 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 6:09 PM