MAXIMUS menunjukkan Contoh Pengiraan Penjimatan ICPT. Turut sama Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri) dan Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Lee Took Gee (kanan). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
MAXIMUS menunjukkan Contoh Pengiraan Penjimatan ICPT. Turut sama Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid (kiri) dan Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Lee Took Gee (kanan). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kira-kira 32 peratus pengguna di Semenanjung dan Sabah yang menggunakan elektrik lebih 300 kilowatt-jam (kWj) sebulan akan menikmati penurunan tarif berkuatkuasa 1 Mac hingga 30 Jun ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, ia berikutan keputusan Jemaah Menteri untuk menurunkan tarif elektrik dengan kadar Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) sebanyak 2.25 sen/kWj bagi pengguna di Semenanjung.

Sementara di Sabah dan Labuan, Jemaah Menteri turut bersetuju supaya purata kadar tarif 34.52 sen/kWj diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj bagi tempoh sama.

"Mengambil kira penurunan harga bahan api global kini, Kementerian membuat semakan semula ke atas kos bahan api dan kos penjanaan lain atau ICPT.

"Penjimatan ICPT yang boleh dilepaskan kepada pengguna dalam bentuk tarif lebih rendah sebanyak RM726.99 juta.

"Penjimatan ICPT ini akan diterjemahkan dalam bentuk pengurangan tarif sebanyak 2.25 sen/kWj dan pengurangan sebanyak 5.8 peratus daripada purata kadar tarif TNB iaitu 38.53 sen," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Maximus berkata, bagi Sarawak, industri bekalan termasuk isu berkaitan tarif elektrik tidak dikawalselia oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengikut Seksyen 1 (2) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 4:32 PM