Kuala Lumpur: Tiada kenaikan tarif elektrik bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2015.

Pengekalan tarif elektrik di dalam tempoh semakan ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) itu dibuat jemaah menteri pada mesyuaratnya semalam, demikian menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam kenyataan media, semalam.

Berikutan ini, rebat ICPT 2.25 sen/kWj bagi Semenanjung Malaysia dan penurunan purata kadar tarif 1.20 sen/kWj bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dikekalkan bagi tempoh tersebut.

Keputusan ini meliputi semua kategori pengguna kecuali pengguna domestik dalam lingkungan penggunaan 300/kWj dan ke bawah yang tidak terbabit dengan kenaikan tarif terakhir pada 1 Januari 2014.

Pada masa sama, selaras dengan langkah rasionalisasi subsidi tenaga oleh kerajaan, harga gas asli berpaip di Semenanjung Malaysia dinaikkan RM1.50/MMBtu iaitu daripada RM15.20/MMBtu kepada RM16.70/MMBtu berkuat kuasa 1 Julai ini.

Kenaikan harga bahan api ini tidak akan memberi kesan ke atas tarif elektrik dan pemberian rebat ini dapat diteruskan dengan adanya penjimatan ICPT bagi tempoh Januari hingga Jun 2015 sebanyak RM1.085.67 juta.

Jumlah ini termasuk penjimatan RM300 juta hasil rundingan semula Perjanjian Pembelian Tenaga dengan penjana kuasa bebas (IPP) generasi pertama.

Mekanisme ICPT dilaksanakan sejak 1 Januari 2014 di Semenanjung Malaysia, dan membolehkan kadar tarif elektrik disemak setiap enam bulan dengan mengambil kira perubahan harga gas asli berpaip, gas asli cecair, arang batu, minyak bahan api sederhana dan sulingan.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:39 AM