DR Maximus menunjukkan contoh pengiraan penjimatan ICPT, semalam.
DR Maximus menunjukkan contoh pengiraan penjimatan ICPT, semalam.
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kira-kira 32 peratus pengguna domestik, komersial dan industri yang menggunakan elektrik lebih daripada 300kWj sebulan akan menikmati pengurangan kadar bil berikutan semakan semula terhadap kos bahan api dan penjanaan lain atau Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, pengurangan kadar bil itu akan berkuatkuasa mulai 1 Mac hingga 30 Jun ini.

Katanya, selepas mengambil kira penurunan harga bahan api global kini, kementerian membuat semakan semula ke atas ICPT dan penjimatan yang boleh dilepaskan kepada pengguna dalam bentuk tarif lebih rendah adalah sebanyak RM726.99 juta.

Menurutnya, penjimatan ICPT ini akan diterjemahkan dalam bentuk pengurangan tarif sebanyak 2.25 sen/kWj dan pengurangan sebanyak 5.8 peratus daripada purata kadar tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu 38.53 sen.

“Sehubungan itu, Jemaah Menteri hari ini (semalam) memutuskan untuk menurunkan tarif elektrik dengan kadar ICPT sebanyak 2.25 sen/kWj bagi pengguna di Semenanjung.

“Sementara di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Jemaah Menteri turut bersetuju supaya purata kadar tarif 34.52 sen/kWj diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj bagi tempoh sama, iaitu penurunan sebanyak 3.5 peratus daripada purata kadar tarif semasa,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai semakan kos bahan api dan penjanaan lain ke atas tarif elektrik di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di kementeriannya di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:07 AM