Penjimatan kos bahan api membolehkan tarif elektrik dikekalkan. - Foto Fail
Penjimatan kos bahan api membolehkan tarif elektrik dikekalkan. - Foto Fail
Oleh Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kerajaan memutuskan meneruskan pemberian rebat tarif elektrik bagi Semenanjung sebanyak 1.52 sen/kWj, manakala Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dikekalkan penurunan purata kadar elektrik 1.20 sen/kWj berkuatkuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2016.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, ini bermakna tarif elektrik bagi Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak berubah.

Beliau berkata, keputusan bagi Semenanjung dibuat susulan ada penjimatan kos bahan api dan penjanaan (ketidakseimbangan pelepasan kos bahan bahan api - ICPT) sebanyak RM762.03 juta bagi tempoh Julai hingga Disember 2015.

"Penjimatan ini diperolehi daripada penurunan harga Gas Asli Cecair (LNG) di pasaran dunia serta peningkatan kecekapan loji janakuasa gas dan arang batu.

"Walaupun kenaikan harga arang batu susulan kejatuhan nilai ringgit dan rasionalisasi subsidi bahan api untuk sektor elektrik berikutan kenaikan harga gas berpaip di Semenanjung sebanyak RM1.50/MMBtu berkuatkuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2016, namun kerajaan masih mampu mengekalkan purata kadar tarif elektrik semasa pada 38.53 sen/kWj," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi Sabah dan Labuan yang tidak menggunakan mekanisme ICPT, keputusan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik dibuat berdasarkan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia.

"Dalam hal ini, penjimatan dalam pemberian subsidi bahan api 'medium fuel oil' (MFO) dan diesel membolehkan kerajaan mengekalkan penurunan purata kadar tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj seperti tempoh enam bulan yang terdahulu.

"Keseluruhan subsidi bahan api Sabah dan Labuan dianggarkan RM468 juta bagi tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 5:52 PM