Hadzlihady Hassan


Georgetown: Pengawal peribadi yang mengamuk di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, 1 Disember lalu, didakwa di tiga mahkamah berasingan di sini, hari ini, terhadap sembilan tuduhan.

Terdahulu, Ja’afar Halid, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap tiga tuduhan membunuh.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sejurus tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Amen Shahul Hamid.

Mengikut tuduhan, dia didakwa membunuh Datuk Ong Teik Kwong, Lee Hong Boon dan Sethil Murugaiah di susur masuk Jambatan Pulau Pinang antara jam 7.15 hingga 7.30 malam.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh didakwa terhadap lima tuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh lima individu.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua tuduhan itu, bagaimanapun Hakim Irwan Suaibon menolak pengakuan itu dan meminta Ja'afar mendapatkan rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan.

Di di Mahkamah Majistret pula, Ja'afar didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap seorang mangsa, Lim Boon Leng, 32, di tempat dan masa sama.

Tertuduh mengaku bersalah sejurus tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Izura Syed Mashor yang kemudian menetapkan 16 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 11:43 AM
Pengawal peribadi berusia 37 tahun didakwa di tiga mahkamah berasingan di Georgetown, Pulau Pinang hari ini terhadap sembilan tuduhan. FOTO Mikail Ong
Pengawal peribadi berusia 37 tahun didakwa di tiga mahkamah berasingan di Georgetown, Pulau Pinang hari ini terhadap sembilan tuduhan. FOTO Mikail Ong