Hadzlihady Hassan


Georgetown: Mahkamah majistret menetapkan 22 Mac ini sebagai sebutan semula kes pengawal peribadi yang mengamuk dan menembak hingga menyebabkan tiga maut di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown 1 Disember lalu.

Tertuduh Ja'afar Halid, 37, didakwa atas tiga pertuduhan membunuh ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong, 32, serta dua orang awam, Choi Hon Ming, 32 dan Senthil Murugiah, 38.

Bagaimanapun, tiada keterangan direkodkan sejurus pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohd Amen Shahul Hamid yang kemudian menetapkan 22 Mac ini sebagai sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan perubatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Husin.

Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, Ja'afar didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Lim Boon Leng, 32, menggunakan senjata api di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sharifah Izura Syed Mashor.

Sharifah Izura kemudian membenarkan tertuduh dibicarakan selepas laporan perubatan mendapati dia waras dan menetapkan 22 Mac sebagai sebutan semula kes sementara menunggu lantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shahruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 12:54 PM
Anggota polis mengiringi Jaafar Halid, 37, (kanan) ke Mahkamah Majistret Georgetown, atas dakwaan membunuh majikannya yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong menggunakan senjata api di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu Disember tahun lalu. FOTO Ramdzan Masiam
Anggota polis mengiringi Jaafar Halid, 37, (kanan) ke Mahkamah Majistret Georgetown, atas dakwaan membunuh majikannya yang juga ahli perniagaan, Datuk Ong Teik Kwong menggunakan senjata api di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu Disember tahun lalu. FOTO Ramdzan Masiam