Jaafar  hadapi pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak lima individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Disember lalu.
Jaafar hadapi pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak lima individu di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Disember lalu.
Shamsul Munir Safini


Georgetown: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes pengawal peribadi yang didakwa atas lima pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak lima individu menggunakan pistol di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 1 Disember lalu.

Hakim Roslan Hamid membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Idris memohon tarikh sebutan baru berikutan laporan perubatan mangsa dan laporan kimia masih belum diperoleh.

Tertuduh, Ja’afar Halid, 37, berdepan tiga pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak K Arivani, 33, di kepala, Nurul Huda Ab Aziz, 38, di bahu dan Lee Hong Boon, 56, di dada kiri.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Irwan Suaibon menetapkan tarikh sama sebagai sebutan semula kes bagi dua pertuduhan cubaan bunuh yang dihadapi tertuduh. Irwan turut menetapkan tarikh sama selepas Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim memaklumkan pihaknya belum memperoleh laporan perubatan mangsa dan laporan kimia.

Tertuduh berdepan dua pertuduhan cubaan membunuh dengan menembak Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 28, di dada kiri dan Puah Bee Joo, 32, di bahu pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 10:50 AM