Bukan main bengang teman Cik Pang dengan sikap penyanyi remaja, Wani Kayrie yang didakwa senang-senang saja bagi nombor telefonnya kepada orang lain tanpa meminta izin.

Ikutkan, isu ini bukan kali pertama berlaku malah Cik Pang pernah tegur beberapa artis tempatan yang pernah buat perangai serupa dalam ruangan ini.

Macam Cik Pang pernah cakap dulu, nombor telefon bersifat peribadi bagi sesetengah orang dan kena meminta izin daripada tuan punya badan jika ada pihak ketiga yang mahukannya.

Luah teman Cik Pang, dia terkejut apabila dapat kiriman pesanan ringkas melalui WhatsApp daripada seorang individu yang mahukan publisiti untuk produknya.

Bila ditanya siapa beri nombor telefon? Si pengirim mendakwa dapat daripada Wani Kayrie yang kebetulan pernah bertemu dengannya.

Teman Cik Pang sempat ‘mengajar’ si pengirim dengan berpesan, kalau mahukan publisiti, buatlah dengan cara betul. Tidak ada salahnya kalau datang sendiri ke pejabat dan perkenalkan diri, bak kata orang, rajin buat PR (Public Relation).

Teman Cik Pang pun turut ‘basuh’ penyanyi itu agar lebih bertanggungjawab dalam setiap tindakan dibuat. Jangan sebab nak mudahkan kerja sendiri, dihumbannya masalah kepada orang lain.

Harap teguran Cik Pang ini dijadikan iktibar kepada penyanyi ini dan artis lain amnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2016 @ 5:05 AM