Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat hajat dan munajat secara berterusan di masjid dibawah kendaliannya mulai hari ini bagi mendoakan supaya banjir yang melanda negara surut dan reda dengan segera.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, solat hajat berkenaan akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur; Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya dan seluruh masjid serta surau di Wilayah Persekutuan.

Pada masa sama, beliau berkata, JAKIM memohon jasa baik pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) supaya dapat mengambil inisiatif sama di masjid dan surau dibawah pentadbiran negeri masing-masing.

"Saya juga menyeru supaya solat hajat dan munajat yang diadakan ini turut membabitkan alim ulama, pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat negara ini bagi mendoakan keselamatan diri dan harta benda; kesihatan yang baik; keteguhan iman dan diberikan kekuatan kepada mereka yang terbabit untuk menghadapi ujian dalam musim tengkujuh ini.

"Selain itu, doa munajat juga ditujukan kepada petugas keselamatan dan seluruh rakyat Malaysia yang berada di kawasan terbabit terpelihara dari segala musibah," katanya dalam kenyataan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 1:42 PM