Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak boleh menghalang tindakan PKNS FC yang memilih untuk bergabung dengan Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBSMS) bagi memastikan mereka boleh beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Menurut Setiausaha Agung FAS Rosman Ibrahim, apa yang dilakukan PKNS mungkin jalan terbaik buat masa ini kerana pihak pengurusan tertinggi Selangor masih berdiam diri sedangkan tarikh akhir pendaftaran buat PKNS esok.

“Kalau PBSMS boleh terima PKNS, terpulang kepada mereka. FAM akan tentukan sama ada mereka boleh bermain atau sebaliknya.

“Kalau mereka sudah bernaung di bawah PBSMS maka terpulang kepada Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia untuk menyokong pendaftaran mereka.

“Kalau PKNS nak keluar kami tak boleh buat apa, dari segi statut tidak ada kesalahan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat Liga-M bersama wakil persatuan negeri dan kelab semalam.

Arena Metro semalam melaporkan PKNS membuat keputusan bergabung dengan PBSMS selepas FAS tidak memberi sokongan kepada mereka untuk beraksi dalam Liga M.

Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menangguhkan pendaftaran PKNS yang layak beraksi dalam Liga Super musim depan selama seminggu selepas tarikh tutup pada 30 November lalu.

Tindakan PKNS untuk bergabung dengan badan lain juga memberi isyarat jelas idea penggabungan Selangor dengan kelab itu sebelum ini tidak akan menjadi kenyataan.

“Maknanya Selangor saja yang akan sertai Liga Super dari FAS,” kata Rosman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 8:34 AM