ROSMAN (kanan) anggap tindakan Presiden FAS mengejutkan.
ROSMAN (kanan) anggap tindakan Presiden FAS mengejutkan.

Petaling Jaya: Tanpa bantuan kewangan kerajaan negeri, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tiada pilihan selain mencari dana sendiri untuk mereka bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengumuman Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mengenai tiada peruntukan kewangan kepada skuad Red Giants amat mengejutkan barisan Exco persatuan bola sepak itu.

Setiausaha Agung FAS Rosman Ibrahim berkata, situasi itu menyukarkan pihak pengurusan mencari penajaan dalam tempoh terdekat sebelum saingan Liga-M bermula 20 Januari depan.

“FAS kena cari dana sendiri. Kami hanya mendapat tahu daripada akhbar mengenai pengumuman itu tapi secara rasmi dari presiden tak ada apa.

“Beliau tidak kata tak ada dana, apa semua yang diperkatakan itu hanya dilaporkan di akhbar termasuk mengenai Stadium Shah Alam tak boleh pakai.

“Jadi kami untuk mendapatkan penaja tahun depan dalam masa sebulan memang susah, kalau tahu dari Julai (tiada dana) mungkin boleh buat sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat Liga-M semalam.

Kemelut dalaman FAS semakin tiada noktah apabila Azmin dalam laporan akhbar semalam menyatakan tiada dana daripada kerajaan negeri untuk kempen Selangor dalam Liga-M musim depan.

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan pasukan itu yang sehingga kini tidak membuat sebarang persiapan.

“Exco akan berbincang Sabtu ini, perjumpaan ini tidak rasmi. Kita tunggu sampai sekarang tak ada apa-apa daripada presiden jadi kena bergerak dengan apa yang boleh dibuat untuk tahun depan.

“Kami juga akan berjumpa 14 pemain yang masih ada kontrak termasuk Andik Vermansyah mengenai hala tuju tahun depan,” jelas Rosman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2016 @ 8:21 AM