SITI Zubaidah  (kiri) ditemuramah wartawan selepas mesyuarat di Wisma FAM, semalam.
SITI Zubaidah (kiri) ditemuramah wartawan selepas mesyuarat di Wisma FAM, semalam.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kemelut penyertaan PKNS FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) akhirnya terlerai dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membenarkan pembabitan kelab itu musim depan selepas mendapati tidak wujud sebarang perlanggaran peraturan biarpun didakwa bernaung di bawah dua gabungan.

Presiden Kelab Bola Sepak PKNS Siti Zubaidah Abdul Jabar yang ditemui sejurus berakhirnya Mesyuarat Undang-undang dan Peraturan di Wisma FAM semalam, mengakui amat bersyukur dengan keputusan itu dan menganggapnya kemenangan moral buat pasukan berkenaan.

“Sangat lega. Walaupun isu ini sudah berlangsung hampir dua minggu, kami tetap teruskan persiapan untuk menghadapi Liga Super musim 2017.

“Persiapan kami bukan saja kepada pasukan utama (skuad E Elavarasan), malah turut membabitkan sembilan pasukan lain di bawah kelab PKNS FC.

“Saya anggap isu ini sebagai cabaran sebelum bermulanya liga. Setiap cabaran pasti akan ada pengakhiran yang manis dan ini titik tolak kepada kejayaan kami.

“Keputusan FAM hari ini (semalam) saya anggap kemenangan awal pasukan. Kami akan berusaha dalam saingan Liga Super dan pertandingan lain untuk cuba meraih kemenangan,” katanya.

PKNS yang menghadapi masalah untuk beraksi Liga-M musim depan selepas tidak mendapat sokongan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bertindak bergabung di bawah Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBSMS).

Begitupun, selepas menyerahkan butiran lengkap kepada FAM dan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengenai tindakan itu, badan induk bola sepak negara itu meminta diberikan sedikit masa untuk menentukan status kelab itu.

Mengikut peraturan pertandingan 4.1.3(I) hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong persatuan bola sepak negara dan mematuhi peraturan FAM layak menyertai Liga-M.

Ditanya mengenai hubungan dengan FAS selepas ini, Zubaidah menegaskan pihaknya tidak menyimpan apa-apa rasa ‘dendam’ sebaliknya akan terus bekerjasama dengan persatuan itu demi memajukan bola sepak di negeri itu.

“Buat apa kami nak putuskan hubungan. Objektif kami sendiri adalah untuk pembangunan bola sepak di Selangor. Kami tetap menghormati mereka selaku rakan akrab kami yang paling dekat, begitu juga PBSMS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:05 AM