Manila: Naib Presiden Filipina, Leni Robredo meletakkan jawatan dalam Kabinet semalam dan berikrar mengetuai pembangkang bagi menentang dasar Presiden Rodrigo Duterte.

Leni, 52, yang masih menjadi Naib Presiden berbalah dengan Duterte baru-baru ini dan memutuskan untuk melepaskan peranannya sebagai menteri.

Dia meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Majlis Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar selepas menerima mesej dari Duterte supaya tidak hadir dalam mesyuarat Kabinet.

Leni dipilih sebagai naib presiden dalam pilihan raya pada Mei lalu dan bukannya calon naib presiden yang bertanding bersama Duterte.

Dia menang dengan majoriti tipis menewaskan Ferdinand Marcos Jr, anak kepada bekas diktator negara itu, mendiang Ferdinand Marcos.

Leni juga sekali lagi mendedahkan rancangan untuk menyingkirkannya dari jawatan nombor dua itu dan mendakwa arahan Duterte itu adalah satu ancaman untuk memecatnya.

“Sekiranya saya tidak dibenarkan hadir ke mesyuarat Kabinet lagi, apakah maknanya itu?

“Saya akan menjadi pemimpin pembangkang. Saya akan menentang dasar yang memberi kerugian kepada rakyat,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Menurutnya, dia akan menentang cadangan mengembalikan semula hukuman mati, menurunkan had umur bagi membolehkan penjenayah dihukum dan kempen memerangi dadah yang kini membunuh lebih 2,000 suspek.

Sementara itu, jurucakap Duterte memberitahu, presiden menerima peletakan jawatan Leni itu dengan berat hati. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 10:13 AM