Banjir lumpur pada 27 Oktober lalu menyebabkan air berlumpur memasuki dapur rumah Fadhlina. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Banjir lumpur pada 27 Oktober lalu menyebabkan air berlumpur memasuki dapur rumah Fadhlina. - Foto MUHAMMAD HATIM AB MANAN
Mohd Hilmie Hussin


Jasin: Tujuh sekeluarga di Kampung Kesang Tua di sini, diancam banjir lumpur apabila tebing tinggi dipercayai tembok batu kolam tadahan, runtuh sejak Sabtu lalu.

Penduduk kampung terbabit, Fadhlina Nordin, 39, berkata kampung itu yang tidak banjir sejak lima tahun lalu, mula diancam bencana itu sejak projek yang pada asalnya disangka pembinaan rumah pangsa, bertukar menjadi pembinaan tembok tanah merah setinggi kira-kira 12 meter, sejak Mac lalu.

Katanya, hujan Sabtu lalu menyebabkan benteng batu yang dibina pada tembok tanah merah di tapak binaan itu runtuh menyebabkan kolam tadahan menghasilkan banjir lumpur.

Penduduk mendakwa kejadian itu terjadi dipercayai akibat kegagalan pemaju menyediakan longkang untuk mengalirkan air.

"Banjir lumpur mula berlaku Jun lalu dan terkini pada 27 Oktober. Inilah yang terburuk apabila bukan sahaja air, malah lumpur tanah merah memasuki dapur, " kata Fadhlina, ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, sudah banyak aduan diajukan kepada pihak berwajib, termasuk Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak berkuasa tempatan mahupun pegawai daerah, namun bagai tiada tindakan.

Menurut Fadhlina, tiga kolam ikan di belakang rumahnya juga sudah tiada kerana dipenuhi tanah merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 4:45 PM