ABDUL Razak (dua kanan) mengadakan lawatan di sekitar rumah pam di Kampung Pasir Tampoi. FOTO Ihsan penduduk
ABDUL Razak (dua kanan) mengadakan lawatan di sekitar rumah pam di Kampung Pasir Tampoi. FOTO Ihsan penduduk
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Dalam usaha menangani masalah banjir kilat yang kerap berulang di Kampung Pasir, Tampoi di sini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan menaik taraf rumah pam di perkampungan berkenaan.

Jurutera JPS Daerah Johor Bahru Abdul Razak Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi menaik taraf sistem pam berkenaan.

Beliau berkata, dua pam sedia ada hanya dapat menyedut 30 kaki padu persaat air banjir namun tidak mampu menampung kapasiti air akibat pertembungan hujan lebat dan air pasang besar.

"Kedua-dua pam ini akan beroperasi ketika hujan dan pertembungan air pasang di Sungai Skudai.

"Selain Kampung Pasir, Kampung Sri Serdang di Tampoi di sini, turut mempunyai satu pam yang berkapasiti 10 kaki padu persaat untuk menguruskan risiko banjir di kawasan berkenaan," katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan rumah pam berkenaan baru-baru ini.

Abdul Razak berkata, sebagai langkah jangka pendek, pihaknya mengarahkan kontraktor yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di sepanjang 800 meter longkang dan parit di kampung berkenaan.

Pada 25 September lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan penduduk berkaitan keadaan rumah pam di Kampung Pasir yang gagal dinaik taraf.

Penduduk khuatir, pam kolam takungan banjir berusia 20 tahun itu gagal menangani masalah banjir.

Kawasan perkampungan berkenaan pernah dilanda banjir besar dua tahun lalu. Ia juga diancam banjir kilat April lalu selain beberapa kali sejak September hingga awal Oktober lalu.

Penduduk juga berharap pihak berkaitan membina tembok pemisah antara kolam dengan rumah penduduk yang terletak berhampiran tebing kerana mudah diancam banjir ketika hujan lebat bertembung dengan air pasang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 2:38 PM