Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sebanyak 500 kilogram (kg) minyak mentah belum proses tumpah satu batu nautika dari Jeti Shell di Pantai Batu 1, Jalan Pantai, di sini.

Tumpahan dipercayai berlaku pada 8 pagi tadi, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan 30 minit kemudian mengenai kejadian itu.

Ketua Operasi Balai Bomba Port Dickson Mohd Kamil Abd Jabbar berkata, pihaknya memasang alat penyerap minyak seberat 280 kg bagi mengelak tumpahan itu merebak ke kawasan lain.

Beliau berkata, beberapa agensi lain, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Petroleum Industri Of Malaysia Mutual Aid Group (PIMAG) dan kakitangan syarikat petroleum terbabit turut bekerjasama membantu bomba membersihkan tumpahan .

"Kita menyerahkan operasi kepada PIMAG kerana mereka memiliki kepakaran mengawal tumpahan minyak. Maklumat diterima menyatakan tumpahan itu tidak serius dan PIMAG berusaha memecahkan molekul minyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2016 @ 4:49 PM