Dr Aldrie (kanan) berbincang dengan pegawai JAS mengenai tumpahan minyak di Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, Port Dickson. FOTO HASSAN OMAR
Dr Aldrie (kanan) berbincang dengan pegawai JAS mengenai tumpahan minyak di Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, Port Dickson. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Port Dickson: Pokok bakau yang dicemari tumpahan minyak lazimnya melalui tempoh kritikal antara enam hingga 12 bulan sebelum mati secara semula jadi.

Pokok berkenaan akan menunjukkan tanda kesukaran untuk hidup dalam tempoh itu, terutama daunnya bertukar menjadi kuning berbanding hijau ketika tidak sakit.

Pengkaji pokok bakau dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aldrie Amir berkata, lazimnya kesan tumpahan minyak menjadi dominan ketika air pasang menyebabkan keseluruhan akar pokok ditenggelami air laut yang dicemari minyak.

"Kelebihan pokok bakau ialah ia mampu memerangkap sampah dan membantu memelihara kebersihan pantai. Namun apabila diselaputi lapisan minyak tebal, akarnya tidak mampu bernafas.

"Cadangan menanam pokok bakau baru tidak relevan jika tanah dicemari minyak. Jika ditanam, pokok bakau akan mati," katanya ketika ditemui di lokasi pokok bakau dicemari tumpahan minyak di Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan, Pantai Cermin, di sini, tadi.

Dr Aldrie adalah antara pihak yang memberikan taklimat kepada EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan yang melawat lokasi kejadian susulan kejadian hutan pesisir pantai Tanjung Tuan nazak akibat sisa tumpahan minyak kapal, Ahad lalu.

Turut memberikan taklimat adalah Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Osman; Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Khirun Nizam Abdul Rahim dan Pegawai Laut Jabatan Laut Wilayah Tengah (Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka), Reduan Mohd Ali.

Beliau berkata, tempoh dua tahun diperlukan bagi membuat kajian mengenai pokok bakau yang dicemari tumpahan minyak, terutama dari aspek sejauh mana minyak memasuki lapisan bumi.

"Kawasan seluas 1.2 hektar yang terjejas akibat tumpahan minyak perlu dirizabkan sebagai kawasan kajian dan tidak boleh diganggu oleh sebarang aktiviti selain penyelidikan," katanya.

Sementara itu, Khirun Nizam berkata, Hutan Simpan Kekal Tanjung Tuan seluas kira-kira 80 hektar adalah milik Kerajaan Melaka tetapi dikelilingi daerah Port Dickson dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

Tumpahan minyak kapal di Tanjung Tuan berlaku pada 12 Oktober tahun lalu manakala kerja pembersihan sisa minyak di kawasan seluas 1.2 hektar dimulakan pada 14 Oktober 2020.

Operasi pembersihan itu ditamatkan pada 19 Oktober lalu selepas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah berpuas hati dengan Laporan Penilaian 'Shorelines Cleanup Assessment Technique' (SCAT).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 4:19 PM