Mohammed Khalil (tiga dari kanan) memeriksa barangan yang dirampas  dalam Ops Serkap, awal pagi tadi. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
Mohammed Khalil (tiga dari kanan) memeriksa barangan yang dirampas dalam Ops Serkap, awal pagi tadi. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Enam warga asing termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops Serkap selepas terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen imigresen di sebuah kondominum, awal pagi tadi.

Dalam serbuan pada jam 12.20 pagi itu lima lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Indonesia ditahan bersama puluhan dokumen palsu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Mohammed Khalil Ali berkata, hasil pemeriksaan selama empat jam mereka mendapati dua daripada enam orang itu tidak mempunyai dokumen yang sah manakala empat lagi tinggal lebih masa serta tiada permit kerja yang sah.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam rumah itu membawa kepada penemuan 25 pasport iaitu 20 pasport Pakistan, dua pasport Nigeria, satu pasport Britain dan dua pasport India yang disyaki mempunyai cop palsu imigresen.

"Kami menjalankan risikan lebih dua minggu sebelum menyerbu rumah yang disewa sindiket warga asing ini," katanya pada sidang media di pejabat Imigresen Kuala Lumpur, tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 4:11 PM