Foto hiasan
Foto hiasan
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan pasport negara asing susulan penahanan tiga warga Bangladesh, termasuk dalang utama, dalam satu operasi khas di sekitar Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam Ops Vista Mutiara itu, pihaknya turut merampas 121 pasport Bangladesh, Myanmar dan Indonesia disyaki palsu.

Katanya, semua suspek yang ditahan menerusi serbuan hasil aduan awam dan risikan JIM itu berusia 26 hingga 33 tahun.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi diatur gerak ke Kepong Commercial Park dan berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh yang mana seorang daripadanya memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) masih sah dan seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.

"Kedua-dua suspek yang berperanan sebagai orang kanan dalam sindiket itu ditahan ketika menghantar bungkusan mengandungi pasport (palsu) kepada pelanggan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ruslin berkata, penahanan dua individu itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki disyaki dalang utama sindiket berkenaan menerusi serbuan di sebuah rumah di Jalan Kepong.

Katanya, suspek dikenali sebagai Shimul, 33, dan memiliki PLKS masih sah sehingga Jun tahun depan.

"Taktik sindiket ialah menyasarkan warga asing seperti Bangladesh, Myanmar, Indonesia, India, Nepal dan Pakistan yang tidak mempunyai pasport dan dokumen pengenalan diri.

"Sindiket dipercayai sudah beroperasi selama setahun dan mengenakan bayaran RM500 hingga RM700 bagi setiap pasport palsu," katanya.

Selain pasport palsu, JIM turut merampas dua komputer riba serta dua mesin pencetak.

Beliau berkata, sindiket mampu mencetak antara lima hingga 10 pasport sehari, bergantung kepada permintaan pelanggan.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 2:40 PM