ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek.
ANTARA barangan yang dirampas daripada suspek.
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Satu sindiket dianggotai warga Pakistan menggunakan Facebook untuk menawarkan pasport palsu antarabangsa dan surat Visa dengan rujukan (VDR) kepada mana-mana warga asing yang berminat bekerja di negara ini dengan bayaran RM2,000 hingga RM3,000 seorang.

Malah, mereka mendakwa semua dokumen itu adalah sah dan dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagaimanapun, sindiket yang dipercayai beroperasi sejak beberapa bulan lalu tumpas apabila rumah yang dijadikan ‘markas’ memproses dan menyimpan dokumen berkenaan diserbu JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam Ops Serkap, Jumaat lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 11 malam itu, pasukan dianggotai 11 pegawai dan anggota JIMWPKL menyerbu sebuah rumah di Jalan Kasipillay, di sini, selepas seminggu menjalankan risikan.

Penolong Pengarah Imigresen JIMWPKL, Mohd Sharulnizam Ismail berkata, ketika serbuan terdapat lima lelaki warga Pakistan di dalam rumah itu.

“Serbuan dibuat hasil aduan orang ramai kerana curiga dengan aktiviti warga Pakistan terbabit sebelum risikan dijalankan.

“Sindiket yang aktif di Lembah Klang ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 seorang dengan menjanjikan peluang pekerjaan menarik di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 10:38 AM