Kapal MT S3 tidak maklumkan ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia. FOTO Ihsan APMM
Kapal MT S3 tidak maklumkan ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia. FOTO Ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Tanjung Sedili (DM7) menahan sebuah kapal dagang di perairan Pengerang, di sini, kerana bersauh tanpa kebenaran, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi DM7 Komander Maritim Sanifah Yusof berkata, kapal MT S3 yang berdaftar di Dumai itu dikesan bot peronda APMM yang melakukan Operasi Perkasa Selatan pada kedudukan 3.8 batu nautika barat daya Tanjung Ramunia, di sini.

"Bot peronda APMM DM7 memeriksa kapal berkenaan pada 2.50 petang sebelum menahannya atas kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sanifah berkata, kapal itu ditahan kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran bersauh serta tidak memaklumkan ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Katanya, kapal itu juga didapati tidak membayar dius api dan tidak mempunyai insurans kapal.

"Hasil pemeriksaan terhadap kapal berkenaan, terdapat enam kru warga Indonesia yang berusia antara 20 hingga 50 tahun.

“Namun, dua daripada mereka dibawa ke pejabat APMM DM7 untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kapal terbabit boleh didakwa mengikut Akta Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Perluasan) 2011 (Akta A1393) dan Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana bersauh tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2016 @ 2:08 PM