AHOK (tengah) dikawal ketat ketika tiba di ibu pejabat polis Jakarta, semalam. - Antara
AHOK (tengah) dikawal ketat ketika tiba di ibu pejabat polis Jakarta, semalam. - Antara

Jakarta: Polis Indonesia mengadakan pertemuan kedua dengan pendakwa raya semalam bagi mempercepatkan proses undang-undang terhadap Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang dituduh menghina agama Islam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia, Agus Andrianto berharap penyerahan kertas siasatan Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok itu berjalan lancar.

“Kami berharap dengan pemahaman yang baik terhadap kes itu proses undang-undang akan dipercepatkan,” katanya.

Agus juga mengulangi janji Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian yang mahu kertas siasatan itu disiapkan dalam tempoh dua minggu.

Tambahnya, polis tiada kuasa untuk mengarahkan pendakwa raya untuk mengenakan dakwaan terhadap suspek.

Sementara itu, Ahok hadir ke ibu pejabat polis Jakarta semalam, buat pertama kalinya untuk disoal siasat sebagai suspek kes penghinaan agama.

Sejak dinamakan sebagai suspek, polis sudah menyoal siasat seramai 24 saksi.

Ahok yang akan bertanding dalam pilihan raya daerah untuk mengekalkan jawatannya didakwa menghina agama Islam apabila mendakwa lawannya mengguna ayat suci al-Quran untuk menipu pengundi.

Ucapan Ahok itu mencetuskan kemarahan sebahagian penduduk Islam yang melancarkan bantahan besar-besaran bagi mendesak dia ditangkap. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 9:15 AM