SEORANG petugas memeriksa kertas undi untuk diagihkan ke pusat pengundian di Jakarta semalam. - EPA
SEORANG petugas memeriksa kertas undi untuk diagihkan ke pusat pengundian di Jakarta semalam. - EPA
Agensi

Jakarta: PULUHAN juta penduduk Indonesia mengundi esok dalam pilihan raya tempatan negara itu dengan perebutan jawatan gabenor Jakarta paling mendapat tumpuan selepas mencetuskan ketegangan politik dan agama.

Kira-kira 7.1 juta pengundi berdaftar di Jakarta akan memilih sama ada mengekalkan Basuki Tjahaja Purnama yang beragama Kristian dan dari etnik Cina sebagai gabenor atau memilih pemimpin yang baru.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok popular dalam kalangan penduduk Jakarta kerana berjaya mengurangkan masalah banjir dan kesesakan jalan raya di bandar itu.

Ahok dilihat mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan jawatan itu tetapi kontroversi menghina al-Quran oleh pemimpin itu menyebabkan sokongan terhadapnya jatuh mendadak.

Kontroversi itu menyebabkan beberapa bantahan besar-besaran oleh kumpulan Islam yang mahu tindakan diambil terhadap Ahok.

Ahok kini berdepan perbicaraan di mahkamah atas tuduhan menghina agama Islam dan boleh dipenjarakan sekiranya didapati bersalah.

Jawatan gabenor Jakarta dianggap penting kerana dianggap batu loncatan ke kerusi presiden Indonesia.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) adalah gabenor Jakarta sebelum memenangi pilihan raya presiden pada 2014.

Jawatannya sebagai gabenor Jakarta diganti oleh Ahok yang ketika itu menjadi timbalan gabenor.

Pemilihan gabenor Jakarta kali ini juga dianggap ujian kepada toleransi agama di Indonesia apabila Ahok dicabar oleh dua calon beragama Islam.

Walaupun Ahok mendahului dalam tinjauan pendapat tetapi dia diekori rapat oleh bekas menteri pendidikan, Anies Baswedan.

Anies disokong parti Gerinda dan kempennya memfokuskan kepada meningkatkan pendidikan dan mengatasi kenaikan harga makanan dan kos sara hidup.

Calon ketiga adalah anak sulung bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Agus Yudhoyono yang bersara dari perkhidmatan tentera untuk bertanding dalam pilihan raya itu.

Agus, 38, yang dilihat kurang berpengalaman dalam politik disokong Parti Demokrat dan beberapa parti Islam.

Antara janji pilihan raya Agus ialah meningkatkan taraf hidup penduduk miskin dan pemberian wang tunai kepada keluarga berpendapatan rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 10:25 AM