GERAKAN lincah Rizky digeruni Filipina.
GERAKAN lincah Rizky digeruni Filipina.

Manila: Pengendali Filipina Thomas Dooley menamakan pemain sayap kiri Indonesia, Rizky Pora sebagai ancaman terbesar buat pasukannya apabila kedua-duanya bertembung dalam aksi kedua Kumpulan A Piala AFF, malam ini.

Menurutnya, kelibat Rizky ketika menentang Thailand Sabtu lalu cukup baik dan berjaya mengucar-ngacirkan pertahanan skuad Gajah Putih itu menerusi larian deras dan hantaran silangnya yang tepat.

Aksi lincah tonggak kelab Barito Putera yang berpangkalan di Selatan Kalimantan itu jelas mencuri perhatian Dooley yang mengakui akan mengarahkan pemainnya merantai pergerakan Rizky.

“Pemain nombor 14 (Rizky Pora) Indonesia, antara pemain terbaik mereka. Dia pemain sayap kiri yang laju. Sudah tentunya kami akan mengawal pergerakan dia sekali gus memastikan tiada sebarang hantaran lintang yang mampu dilakukannya,” kata Dooley, semalam.

Jelasnya lagi, skuad Garuda juga memiliki pemain lain yang berbahaya seperti ketua pasukan Boaz Salossa dan pemain Selangor Andik Vermansyah di sayap kanan.

“Mereka bermain sangat pantas dan gemar melakukan serangan. Pasukan mereka amat bagus ketika melancarkan serangan dari bahagian sayap. Kami perlu mengawal bahagian itu dengan tidak memberi ruang kepada mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 7:18 AM