MESKIPUN berbeza agama,  mereka sudah mendapat restu kedua belah keluarga.
MESKIPUN berbeza agama, mereka sudah mendapat restu kedua belah keluarga.
Najiy Jefri


Kisah cinta pasangan romantis Rizky Febian dan Mahalini Raharja terus berbunga apabila meraikan momen bahagia sempena tiga bulan hubungan cinta mereka pada 7 Mei lalu.

Apa yang mengujakan, pelantun lagu Hingga Tua Bersama itu menyiapkan satu kejutan istimewa buat Mahalini dengan menghadiahkan sejambak bunga mawar dengan kata-kata cinta romantis.

Menariknya mengenai hubungan cinta pasangan ini, kedua-duanya memilih untuk tidak merahsiakan hubungan cinta yang terjalin sebaliknya dilihat berkongsi cerita indah yang berlaku di media sosial.

Kebahagiaan mereka tidak hanya terhenti dengan jutaan komen positif daripada peminat, malah kedua-dua keluarga dilihat saling memberi sokongan dan kasih sayang meskipun mereka berbeza agama.

Tiga bulan tempoh percintaan, jejaka berusia 24 tahun itu berharap hubungan cinta mereka terus terjalin dengan baik dan dipermudahkan.

"Semoga semua harapan dan keinginan kita berdua tercapai. Sama-sama kita jaga untuk gapai apa yang kita impikan," kata Rizky.

Menerusi satu video kejutan sempena tiga bulan percintaan mereka, Mahalini turut menyampaikan doa dan harapan agar hubungan asmaranya terus mekar mewangi.

HUBUNGAN romantis pasangan selebriti Indonesia, Rizky Febian- Mahalini Raharja curi tumpuan ramai.
HUBUNGAN romantis pasangan selebriti Indonesia, Rizky Febian- Mahalini Raharja curi tumpuan ramai.

"Saya harap kita mampu menjaga satu sama lain. Saya juga doakan supaya kita mampu menjaga fikiran, hati dan mata. Semoga kita dapat teruskan dan meraikan hubungan pada setiap tanggal tujuh hari bulan akan datang. Saya sayang awak," katanya.

Beralih mengenai detik perkenalan pasangan ini, Rizky mengaku hubungan cintanya dengan Mahalini sememangnya berlaku tanpa sengaja dan tak pernah terfikir mereka bakal bersatu.

"Hubungan kami bermula tanpa sengaja dimana kami bertemu pada sebuah acara di stesen TV.

"Pada awalnya saya tiada rasa cinta dengan dia, sebaliknya perasaan ingin berkawan itu lebih menebal. Tapi semakin lama hubungan terjalin, kami banyak berkongsi hal peribadi.

"Tak sangka dalam perkenalan itu kami sudah menyentuh mengenai satu sisi dan hal lain dari hati saya. Sebelum ini saya pernah beritahu dalam podcast ayah yang saya ingin mencari pasangan yang santai dan menyokong pekerjaan," katanya.

PASANGAN ini dikatakan sudah tiga bulan menjalin cinta.
PASANGAN ini dikatakan sudah tiga bulan menjalin cinta.

Tambah Rizky, dia dan Mahalini mempunyai banyak kesamaan, termasuk sifatnya membuatkan dia berasa sedang bercakap dengan cermin.

"Latar belakang kerjaya kami sama. Ternyata sifat kami juga hampir sama. Jadi bila melihat dia saya rasa seperti cermin," katanya.

Tunang

Disebalik kebahagiaan yang sedang dinikmati Rizky dan Mahalini, pasangan ini tidak terlepas daripada terpalit kontroversi.

Terbaharu mereka dikatakan sudah bertunang apabila Rizky memuat naik gambar bersama Mahalini di Bali, Indonesia.

Enggan membiarkan gosip terbabit terus bertebaran, bapa Rizky yang juga pelawak terkenal, Sule tampil menafikan perkara itu dan menjelaskan anaknya hanya sekadar menghadiri majlis yang diadakan oleh keluarga kekasihnya dan mereka belum ada apa-apa ikatan selain bercinta.

TANGGAL tujuh hari bulan adalah detik penting dalam kehidupan Rizky dan Mahalini.
TANGGAL tujuh hari bulan adalah detik penting dalam kehidupan Rizky dan Mahalini.

Katanya lagi, anak sulungnya itu memang suka untuk memberikan cincin mungkin itu hanyalah sebagai tanda percintaan mereka dan dia berharap tiada spekulasi yang timbul berkaitan perkara itu.

"Iky (Rizky) hanya menghadiri majlis kesyukuran keluarga Mahalini tetapi dikatakan sudah bertunang. Cerita itu hanya disensasikan media sahaja. Saya sudah banyak pengalaman begitu, jadi sudah biasa.

"Anak saya memang suka menghadiahkan cincin. Tak salah rasanya sekadar memberi hadiah.

Mungkin itu sebagai satu cara Iky mengingatkan Mahalini bahawa mereka sedang bercinta. Tak perlu diperbesarkan hal ini," katanya.

Dalam masa sama, Sule turut memberitahu sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dengan menasihat anaknya supaya menjaga batas dan cabaran yang bakal mereka hadapi apabila bercinta berbeza agama.

"Sebagai bapa saya tidak mahu dipersalahkan jika tidak memberi nasihat. Saya sudah memberitahu mereka batasan yang perlu dipatuhi.

"Saya tidak mahu hadkan kebahagiaan anak. Lihat sahaja apa yang akan berlaku nanti kerana saya yakin Tuhan telah merencanakan sebaiknya," katanya.

Terdahulu, Rizky dikatakan mula bercinta dengan Mahalini pada 7 Februari 2022 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 6:20 AM