AFP

London: Andy Murray (gambar) dan Novak Djokovic akan bermati-matian berjuang merebut ranking nombor satu dunia pada perlawanan akhir Jelajah Akhir ATP selepas melengkapkan laluan masing-masing untuk pertemuan dramatik itu.

Perebutan Murray dan Djokovic untuk kedudukan tertinggi itu akan berakhir dengan salah seorang daripada mereka akan menamatkan tahun ini berada di puncak dunia selepas pemain Scotland itu menamatkan penguasaan pesaingnya selama 122 minggu di ranking teratas awal bulan ini.

Apa yang menarik kedua-duanya akan menutup tirai musim ATP dengan gelaran Jelajah Akhir dan ranking teratas menjadi rebutan pada perlawanan akhir di Arena O2, London.

Selepas bangkit untuk menewaskan Milos Raonic 5-7, 7-6 (7/5), 7-6 (11/9) pada separuh akhir, Murray hanya memerlukan satu kemenangan untuk menamatkan tahun impiannya dengan penuh bergaya.

Namun Djokovic juga boleh memperkatakan perkara sama selepas juara bertahan itu membelasah pemain Jepun Kei Nishikori 6-1, 6-1 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Djokovic, yang mempunyai rekod kemenangan 24-10 ke atas Murray berkata: “Ini salah satu perlawanan terbesar membabitkan kami berdua. Ia perlawanan yang dinantikan setiap orang.

“Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah tenis. Saya berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah.

“Tahap permainan saya berada di landasan tepat. Kini sudah tiba perlawanan terakhir tahun ini. Saya harap kami akan berdepan final yang hebat.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 7:58 AM