GANDINGAN Wee Kiong-V Shem tekad  tebus kehampaan dalam acara berpasukan campuran. - Foto YAZIT RAZALI
GANDINGAN Wee Kiong-V Shem tekad tebus kehampaan dalam acara berpasukan campuran. - Foto YAZIT RAZALI
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


GOLD COAST: Pasangan nombor 13 dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tekad menebus kehampaan dalam acara berpasukan campuran dengan mempertahankan emas dalam saingan beregu lelaki di Sukan Komanwel.

 V Shem-Wee Kiong adalah pilihan utama dan dijangka bertemu pasangan India, Chiraq Shetty-Satwi Rankireddy di perlawanan akhir.

 Tekanan sudah pasti terasa kerana acara beregu lelaki adalah lubuk emas kepada Malaysia sejak edisi 1990 di Auckland.

 Pasangan bidan terjun, Chan Peng Soon-Goh Soon Huat pula berada di bahagian bawah undian untuk acara beregu lelaki.

 "Kami sekarang memberi fokus sepenuhnya untuk mempertahankan kejuaraan selepas tumpas dalam final berpasukan campuran. Undian kami agak baik. Kami dijangka berdepan pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge di separuh akhir, malah sebelum ini kami menumpaskan mereka dalam acara berpasukan campuran.

 "Kami berharap dapat meneruskan rentak cemerlang di sin dan sangat bagus jika bertemu rakan senegara di final.

 "Dalam masa sama kami harus berhati-hati dengan Chiraq-Satwi, kerana mereka sudah pasti lebih bersemangat selepas India memenangi acara berpasukan campuran," kata Wee Kiong.

 V Shem-Wee Kiong yang mendapat ‘bye’ di pusingan pertama, kembali bergandingan awal tahun ini selepas empat bulan berpisah akibat masalah dalaman.

 Pencapaian terbaik mereka tahun ini ialah mara ke akhir Malaysia Masters dan separuh akhir Thailand Masters serta Terbuka Jerman.

 Dalam saingan beregu campuran, Malaysia mempunyai dua pasangan termasuk pilihan utama, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

 Peng Soon-Liu Ying berharap mampu memberikan persembahan terbaik selepas tumpas kepada pasangan India, Satwi-Ashwini Ponnappa semalam dalam perlawanan akhir berpasukan campuran.

 "Kami tidak mahu terganggu dengan kekalahan semalam. Paling penting ialah kami perlu memberi tumpuan dan mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir," kata Peng Soon.

 Peng Soon-Liu Ying berdepan undian sukar apabila dijangka menentang pasangan India, Pranaav Jerry Chopra-N. Sikki Reddy di suku akhir dan gandingan nombor 10 dunia, Chris Adcock-Gabrielle Adcock di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 4:00 PM