Kuala Lumpur: Tiada lagi wakil negara meneruskan saingan di saingan Siri Super Premier Terbuka Indonesia selepas pasangan tunggal Goh V Shem-Tan Wee Kiong kecundang di pusingan kedua semalam.

Beraksi di Stadium Istora Senayan, V Shem-Wee Kiong gagal menafikan kehebatan gandingan China Fu Haifeng-Zhang Nan apabila tewas mudah 14-21, 15-21 dalam tempoh 30 minit.

Keputusan itu pastinya cukup mengecewakan, malah hakikat itu turut diakui sendiri jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan.

Tegasnya, V Shem-Wee Kiong gagal mempamerkan prestasi terbaik mereka pada perlawanan itu.

”Mereka gagal bermain baik hari ini (semalam). Terlalu banyak kesilapan mudah dilakukan hingga memberi kelebihan kepada lawan,” katanya.

Jelas Jeremy, beliau pada awalnya berharap anak buahnya itu mampu memberi tentangan sengit kepada Fu Haifeng-Zhang Nan.

”Mereka sepatutnya beraksi lebih baik daripada apa yang ditunjukkan tadi (semalam),” katanya.

Untuk itu, Jeremy berharap V Shem-Wee Kiong dapat bangkit semula pada saingan selepas ini di Sukan SEA Singapura dengan sasaran melangkah ke pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:48 AM