V Shem (kanan) Wee Kiong intai emas pertama negara.
V Shem (kanan) Wee Kiong intai emas pertama negara.
Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: Selepas kegagalan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada final beregu campuran kelmarin, sandaran kini diletakkan di bahu Goh V Shem-Tan Wee Kiong memburu pingat emas sulung kontinjen negara dalam sejarah Sukan Olimpik.

V Shem-Wee Kiong akan berentap dengan pilihan keempat temasya Fu Haifeng-Zhang Nan pada final beregu lelaki di Pavilion 4 Riocentro malam ini, enam hari selepas menewaskan pasangan China itu di peringkat kumpulan.

“Kemenangan di peringkat kumpulan sudah kami lupakan. Mereka pasangan yang memiliki lebih banyak pengalaman berbanding kami tapi kami tetap akan masuk ke gelanggang berjuang untuk meraih emas,” kata Wee Kiong.

V Shem jelas bersemangat bagi memastikan perjuangannya tidak berakhir dengan kekecewaan ketika mereka kini dipisahkan satu perlawanan saja lagi bagi mencipta sejarah.

“Sudah pasti kami mahukan pingat emas selepas melangkah sejauh ini. Kami tidak tertekan dan akan cuba memenangi pingat emas untuk negara,” ujar V Shem.

Selepas mengejutkan Haifeng-Zhang Nan untuk menjuarai kumpulan mereka, beregu utama negara itu melakar kejutan lagi menyingkirkan beregu nombor satu dunia Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan pada suku akhir sebelum membenam beregu kedua China, Chai Biao-Hong Wei pada separuh akhir.

Mereka kini mendahului 2-1 dari segi rekod pertemuan menentang Haifeng-Zhang Nan.

Sementara itu, jurulatih beregu Jeremy Gan berkata, mereka tidak mempunyai sebarang strategi rahsia bertemu beregu China itu pada aksi final malam ini.

“Saya sudah menyediakan mereka strategi bagi menghadapi final ini. Apa yang penting mereka perlu mempersembahkan dulu permainan terbaik pada hari perlawanan sebenar.

“Saya lihat mereka memiliki keinginan kuat serta keghairahan untuk mencipta sejarah. Kini terpulang kepada mereka untuk mengambil peluang ini,” jelas Jeremy.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 10:42 AM