KAYUHAN beberapa peserta yang bersaing.
KAYUHAN beberapa peserta yang bersaing.
GELAGAT peserta ketika berkayuh.
GELAGAT peserta ketika berkayuh.
HUJAN menjadikan cuaca sejuk dan peserta lebih bersemangat untuk berkayuh.
HUJAN menjadikan cuaca sejuk dan peserta lebih bersemangat untuk berkayuh.
SEMUA peserta berjaya menamatkan kayuhan.
SEMUA peserta berjaya menamatkan kayuhan.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid


Trek licin, hujan pula sepanjang perlumbaan ternyata bukanlah halangan buat 70 pelumba Felda Sahabat Jamboree MTB 2016 untuk menamatkan kayuhan di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.

Biarpun terpaksa bermandikan hujan, bagi kebanyakan peserta, ia satu cabaran untuk mereka menguji skil berbasikal yang dimiliki apatah lagi apabila trek mula berlumpur dan kayuhan terasa berat.

Lebih mencabar lagi apabila mereka perlu mendaki dan menuruni empat bukit yang memberikan cabaran berbeza dan menjadikan setiap kayuhan perlu dilakukan berhati-hati. Jika tersilap langkah dan teknik kayuhan, mereka boleh tergelincir dan terbabas di atas trek.

Namun, ternyata cabaran berkayuh dalam keadaan hujan ini bukanlah faktor utama untuk mereka mengalah. Sebaliknya mereka lebih bertenaga dan bersemangat apabila sedikit sebanyak hujan yang turun mengurangkan kepanasan dan mengurangkan kadar kehausan.

Kejohanan anjuran Sahabat Cycling Club dan Star Cycling Club Lahad Datu itu adalah yang pertama diadakan tahun ini bagi menyambut kedatangan tahun baru selain menjadi pemanas badan buat penggemar aktiviti sukan berbasikal.

Meskipun dianjurkan secara tertutup bagi peminat berbasikal sekitar daerah itu, pihak penganjur turut membuat jemputan peserta dari beberapa daerah berhampiran seperti Tawau, Sandakan dan Kinabatangan.

Pengurus Star Cycling Club Lahad Datu, Yandy Merika berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan pada kejohanan itu antaranya Lelaki Junior, Senior Lelaki, Veteran Lelaki dan Terbuka Roadbike .

Katanya, penganjuran kejohanan itu adalah bagi mencungkil bakat pengayuh baru yang membabitkan golongan muda.

“Selain itu, kejohanan ini juga mampu mengeratkan silaturahim dalam kalangan pengayuh baru,” katanya.

Tambahnya, kejohanan itu berupaya memperkenalkan pasukan Sahabat Cycling Club dan Star Cycling Club Lahad Datu kepada pihak luar selain peminat berbasikal di daerah itu sendiri.

“Pada mulanya kami menyasarkan penyertaan lebih 100 peserta, namun hanya mampu mengumpulkan seramai 70 peserta.

“Meskipun tidak berjaya mencapai sasaran, tapi kami tidak berputus asa untuk menganjurkan aktiviti sulung tahun ini,” katanya.

Upacara pelepasan itu dilakukan Pengurus Felda Sahabat 4 dan 5, Yusof Ismail tepat jam 8 pagi. Dalam kayuhan itu, peserta perlu merentasi laluan ladang kelapa sawit yang berbukit dan tidak rata sejauh 38 kilometer.

“Antara bukit yang dilalui peserta bermula dari Bukit Angkut, Bukit Sahabat 10, Bukit Jalan Mangga, Bukit Jalan Durian sebelum berpusing kembali mendaki bukit yang sama,” kata Yandy.

Peserta kayuhan, Hanifuddin Shani, 35, mengakui berpuas hati dengan penganjuran kejohanan yang disertai oleh peminat sukan berbasikal sekitar daerah Lahad Datu.

“Secara peribadi, laluan yang dilalui amat mencabar dengan bukit yang tinggi, namun saya akui semangat peserta kuat untuk menamatkan kayuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:02 AM