Anggota bomba memeriksa saluran gas. Keadaan seorang pekerja yang melecur akibat kebakaran dapur gas. FOTO Ihsan bomba
Anggota bomba memeriksa saluran gas. Keadaan seorang pekerja yang melecur akibat kebakaran dapur gas. FOTO Ihsan bomba
Muhammad Apendy Issahak


Tapah: Lima melecur akibat kebakaran dapur gas di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Pahang, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa ialah isteri pemilik restoran bersama anak lelakinya serta tiga pekerja warga Pakistan yang sedang memasak di dapur.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tapah Hariri Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai pada jam 7.33 pagi dan sebaik tiba di lokasi, semua mangsa sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

"Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan saluran tong gas ke periuk nasi yang bocor dan terbakar akibat percikan api.

"Api menyambar kelima-lima mangsa yang berada berhampiran periuk nasi berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya difahamkan kecederaan mangsa membabitkan kaki dan tangan.

Hariri berkata, pihaknya bertindak menutup injap salur gas dan membawa keluar tong gas dari premis berkenaan.

Menurutnya, kebakaran bagaimanapun tidak membabitkan bangunan restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 9:15 PM