Kuala Lumpur: “Maaf kerana kami tidak dapat hadiahkan kejuaraan ini kepada rakyat Malaysia.” Itu nada kekecewaan diungkapkan pemain pertahanan, Mohd Afif Amiruddin selepas gagal membantu Harimau Malaya menjuarai Piala AFF 2014 kelmarin.

Afif, 30, yang diturunkan pada saat akhir oleh jurulatih Dollah Salleh berikutan pemain utama Mohd Fadhli Shas mengalami demam beraksi cemerlang bergandingan dengan kapten Shukor Adan di pertahanan tengah.

Dengan ketinggian 1.86 meter, pemain Polis Diraja Malaysia itu sentiasa mematahkan serangan bola tinggi Thailand serta merantai pergerakan penyerang Adisak Kraisorn hinggalah dia terpaksa dikeluarkan pada minit ke-69 akibat kecederaan dan digantikan Muslim Ahmad.

“Saya mengalami kekejangan otot mungkin kerana tidak mempunyai kecergasan dalam permainan kerana tidak bermain dalam empat perlawanan sebelum ini. Sangat kecewa sebab kami sudah mempunyai kelebihan dan mendahului 3-0, tapi pada minit akhir kami melepaskan gol yang menjadi punca kemenangan Thailand,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Thailand meraih kejuaraan keempat selepas 12 tahun menanti apabila mengatasi Malaysia dengan agregat 4-3 meskipun tumpas pada final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.

Kemenangan Gajah Perang itu berpunca daripada kegagalan anak buah Dollah Salleh bertahan pada 10 minit terakhir yang menyaksikan kubu negara dibocori dua gol Charyl Chappuis dan Chanathip Songkrasin selepas mereka ketinggalan 0-3.

Beraksi di pentas final pada kejohanan pertama dalam karier seharusnya sesuatu yang boleh dibanggakan buat Afif pemain kelahiran Kota Bharu namun baginya ia tidak memadai.

“Saya tidak puas hati sebab kami hanya selangkah untuk menjadi juara. Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia yang datang ke stadium memberikan sokongan. Kami minta maaf kerana tak dapat hadiahkan kejuaraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 7:00 AM