AFIF (kiri)  tak mahu The Cops tewas lagi.
AFIF (kiri) tak mahu The Cops tewas lagi.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Afif Amiruddin mahu memastikan kubu mereka tidak dibolosi Perak pada aksi Liga Super di Stadium Ipoh, malam ini sebagai bukti layak untuk bersama skuad Harimau Malaya.

Afif, 30, bersama seorang lagi pertahanan tengah Mohd Muslim Ahmad terus menjadi pilihan jurulatih kebangsaan Dollah Salleh bagi melengkapkan senarai 20 pemain untuk menghadapi Oman di Muscat pada aksi persahabatan 26 Mac ini.

Namun rekod pertahanan PDRM musim ini kurang baik apabila dibolosi sembilan gol susulan kekalahan 3-5 kepada LionsXII dalam aksi pertama dan 1-4 di tangan Selangor pada perlawanan terakhir Liga Super Sabtu lalu.

“Saya gembira kerana masih dipanggil menyertai skuad kebangsaan, tapi PDRM sekarang dibolosi sembilan gol, sama banyak dengan jaringan kami hasilkan. Jika ingin bersama pasukan kebangsaan macam ‘tak sedap’ dengan rekod seperti itu, namun perlawanan dengan Perak (malam ini) peluang terbaik untuk buktikan saya layak bersama pasukan negara,” katanya kepada Arena Metro semalam.

PDRM yang dibimbing bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan kini menduduki tangga keenam dengan enam mata dan mereka berpeluang memperbaiki kedudukan itu jika menundukkan Perak malam ini.

Namun bukan mudah buat The Cops menjinakkan Perak yang menghuni tangga kedua dengan rekod tanpa kalah apatah lagi pasukan tuan rumah itu pasti menurunkan bekas penyerang PDRM, Bobby Gonzales dan Charles Chad Souza.

“Kami pernah bangkit selepas kalah teruk dengan LionsXII dan saya percaya boleh melakukannya sekali lagi. Tapi Perak pasukan bagus musim ini, gabungan pemain muda dan senior mereka cukup menjadi.

“Kami perlu waspada jika Bobby dan Chad bermain esok (hari ini) kerana mereka penyerang bagus. Kekalahan besar sebelum ini memberi peringatan kepada kami supaya tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:28 AM