Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: Berikutan kurang rehat dan tidak menjaga makan, penyanyi Hazami, 41, sekali lagi dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila mengalami pendarahan usus Sabtu lalu.

Kali pertama penyanyi lagu Sonata Musim Salju itu dikesan menghidap penyakit itu pada Ogos tahun lalu yang berpunca daripada sikap obsesnya mahu menurunkan berat badan secara mendadak.

Bagaimanapun, selepas empat hari mendapatkan rawatan di HKL dia dibenarkan keluar pagi semalam.

Menurut Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, malam Jumaat lalu dia keluar makan bersama rakan-rakannya dan berbual sehingga lewat malam.

“Tiba-tiba saya rasa seperti ada yang tidak kena dan apabila ke tandas, saya dapati ada pendarahan seterusnya bergegas pulang ke rumah. Bagaimanapun, Pegawai Perhubungan syarikat pengurusan saya, Cloudworks Entertainment, ada bersama ketika itu menggesa saya segara ke hospital.

“Waktu itu sudah jam 4 pagi dan mereka terus bawa saya ke HKL. Selepas doktor melakukan pemeriksaan menyeluruh, mereka berjaya menghentikan pendarahan. Alhamdulillah, selepas dapat berehat dan menjalani rawatan kesihatan saya kembali pulih serta dibenarkan keluar hospital pagi semalam,” katanya.

Hazami berkata, dia diminta datang semula ke HKLpada 15 Disember ini untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor minta saya berehat, jaga makan dan jangan merokok. Buat sementara waktu, saya tidak dapat menyertai promosi AIM22 (Anugerah Industri Muzik edisi ke 22). Single terbaru saya, Cintai Dia dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki),” katanya.

Hazami akan kembali bekerja seperti biasa termasuk memenuhi undangan persembahan pada awal Disember ini.

“Doakan saya kembali sihat seperti biasa agar dapat terus bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2016 @ 7:25 PM