HAZAMI bergandingan bersama Stacy bagi tema nyanyian duet pada program Terpaling Juara di Plaza Alam, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
HAZAMI bergandingan bersama Stacy bagi tema nyanyian duet pada program Terpaling Juara di Plaza Alam, Shah Alam. FOTO Genes Gulitah
Georgie Joseph


Shah Alam: Pentas separuh akhir Terpaling Juara menyaksikan keempat peserta iaitu Aqmal, Hazami, Rahmad Mega, dan Shaz mara ke pentas akhir yang akan berlangsung Ahad depan.

Juri Fauziah Latiff atau Gee memutuskan untuk menyelamatkan Hazami daripada penyingkiran dan mengekalkan semua peserta untuk bertanding di final.

"Minggu depan adalah pentas akhir jadi Hazami dan Shaz memang saya akui ada buat kesilapan. Dapat peluang ke pusingan 'battle', kedua-duanya sudah buat yang terbaik dan buktikan yang mereka bagus, baik Shaz mahupun Hazami. 

"Mereka sudah berikan persembahan nyanyian terbaik. Mereka sudah membuktikan mereka penyanyi yang baik. Jadi apa salahnya keduanya diberi peluang ke pentas akhir. Insyallah di pentas akhir nanti mereka akan buat sehabis baik," katanya.

Apapun, Fauziah ingin melihat semua peserta bakal tunjukkan kemampuan sehabis baik pada pentas akhir dan kagumkan semua kelak.

"Kita nak semua beri yang terbaik sebab kita tahu semua yang masuk pentas akhir ini ada kekuatan masing-masing. Harapnya kesilapan malam ini dan pengajaran dari minggu-minggu sebelum ini, mereka dapat menyampaikan lagu yang diberikan dengan baik nanti. 

"Bukan setakat segi suara saja tapi mutu persembahan juga perlu dititik berat. Cuba pelbagai elemen dalam persembahan. Bagi menjadi penghibur bagus, kena tahu perkara itu," katanya.

Pada penentuan ke peringkat akhir itu, peserta diberi tema 'band' untuk persembahan mereka. Aqmal menyampaikan lagu Aku Skandal nyanyian asal Hujan, Shaz (Hanya Namamu - Caliph Buskers), Hazami (Aurora - Estranged) dan Rahmad Mega (Kejora Ku Bersatu -Search).

Hazami dan Shaz yang menjadi peserta mendapat markah terendah kembali bertarung pada pusingan Battle Bottom 2 dengan menyampaikan lagu Sejati, nyanyian asal oleh Wings. 

Hazami tewas di pusingan terbabit sebelum diselamatkan daripada menjadi mangsa penyingkiran oleh Fauziah yang menggunakan tiket imunitinya.

Rahmad pula diumumkan sebagai persembahan terbaik minggu ini dalam segmen Terpaling Padu Minggu Ini dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. 

Terpaling Juara dihoskan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir, bersiaran selama lapan episod di TV3 pada setiap Ahad, jam 9 malam. 

Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah bernilai RM100,000, manakala naib juara  bakal memenangi RM50,000 dan tempat ketiga pula menerima RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:54 AM