TRUMP dibawa keluar dari pentas oleh anggota pasukan keselamatan di Reno,  semalam. - AFP
TRUMP dibawa keluar dari pentas oleh anggota pasukan keselamatan di Reno, semalam. - AFP

Nevada: Calon Parti Republikan, Donald Trump dibawa keluar dari pentas oleh ejen keselamatan di satu perhimpunan di Reno, di sini, semalam, selepas seseorang dalam kalangan penyokongnya menjerit ‘pistol’ ketika bergelut dengan seorang lelaki yang memegang sepanduk ‘Republikan menentang Trump.’

Kejadian berlaku ketika Trump dan pesaingnya, Hillary Clinton mengerah seluruh kekuatan mereka untuk berkempen menjelang hari mengundi esok.

Dua ejen keselamatan membawa Trump ke belakang pentas sementara polis mengerumuni seorang lelaki di barisan hadapan, memeriksanya sebelum membawanya dengan tangan lelaki itu ke belakang.

Trump kembali semula ke pentas tidak lama kemudian untuk menyambung semula ucapannya dengan berkata: “Tidak ada orang yang akan menyekat kita!”

Sementara itu, selepas dibebaskan, lelaki yang ditahan itu memberitahu wartawan, dia penyokong Republikan tetapi menghadiri perhimpunan itu untuk menyuarakan bantahannya terhadap Trump.

“Saya datang dengan sepanduk membantah Trump,” kata Austyn Crites.

Menurutnya, sebaik mengeluarkan sepanduk itu, orang ramai mula menyerang dan memukulnya sebelum ada yang menjerit ‘pistol.’ - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 11:05 AM