Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bukan saja menyihatkan badan malah senaman Zumba dengan diiringi muzik rancak kini menjadi antara fenomena baru dalam aktiviti kecergasan khususnya bagi golongan wanita.

Zumba juga dikatakan mampu menghilangkan tekanan kerana gerak tarian yang diadun dalam senaman ini bukan saja pantas malah adakalanya mengundang senyuman dan gelak ketawa.

Suasana yang menyeronok­kan inilah membuatkan ramai peserta lupa sebentar kepada masalah yang membelenggu mereka.

Oleh kerana ia juga dilakukan secara beramai-ramai, senaman Zumba ini juga menjadi medan untuk saling berkenalan dan berkongsi semangat.

Menyedari penerimaan menggalakkan daripada golongan wanita, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa dengan kerjasama Sports Recreation Community Club (SRCC), Kelab Perintis Muda Setiawangsa dan Julieda Aerodance menganjurkan program senaman kesihatan Zumba Masquerade Party di Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa, baru-baru ini.

Program senaman kesihatan itu disertai lebih 400 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan dan latar belakang.

Ketua Puteri UMNO Setiawangsa Noraini Zulkafli berkata, program senaman kesihatan itu dijalankan bagi menarik minat lebih ramai wanita khususnya golongan belia untuk membabitkan diri dalam aktiviti kecergasan.

Menurutnya, penganjuran acara berkenaan sekali gus mampu memupuk sifat lebih prihatin penduduk di negara ini terhadap tahap kesihatan diri.

"Saya berasa bangga apabila melihat program ini mendapat sambutan baik daripada pelbagai lapisan usia yang rata-ratanya amat bersemangat untuk mengikuti acara berkaitan dengan kesihatan seperti ini.

"Saya berharap program ini menjadi platform kepada masyarakat khususnya golongan wanita supaya sentiasa mementingkan penjagaan kesihatan," katanya.

Sementara itu, Pengasas Julieda Aerodance, Julie Azulie berkata, dia dan rakan­nya, Ida Kamaruddin gembira apabila program yang dirancang berjalan dengan lancar.

Menurut Julie, Zumba kini semakin diterima masyarakat khususnya wanita.

"Zumba bukan saja boleh menyihatkan badan malah pada masa sama dapat meng­aktifkan minda terutama setiap kali mengikuti langkah tarian yang rancak dan pantas.

"Senaman ini memerlukan pergerakan menyeluruh dan kita menggunakan kebanyakan otot badan yang kadang-kala jarang digerakkan. Peserta akan jadi lebih bersemangat untuk bersenam kerana ia dilakukan secara berkumpulan. Tidak kisahlah kalau langkah kita 'sumbang', apa yang penting ialah kita menggerakkan badan," ujar Julie.

Katanya, dia yang sebelum ini menghidap penyakit jantung berlubang mula membabitkan diri dalam aktiviti kecergasan seperti Zumba bagi meningkatkan stamina.

"Doktor menyarankan saya untuk sering bersenam. Atas sebab itu di samping dorongan Ida, kami mula serius bersenam dan sentiasa mencari aktiviti kecergasan untuk disertai.

"Syukur, melalui senaman seperti Zumba saya kini semakin sihat dan aktif dalam menjalani kehidupan seharian. Terus terang saya katakan, senaman ini secara tidak langsung membuatkan saya semakin ramai kawan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:00 AM