MURAD (kanan) bersama jurulatih profesional, Milos Sarcev dari Serbia.
MURAD (kanan) bersama jurulatih profesional, Milos Sarcev dari Serbia.
MURAD.
MURAD.
Siti Zarinah Sahib


Berbual hampir dua jam mengenai kesihatan dan kecergasan serta menyaksikan sendiri cara dia melatih individu dalam sukan tinju, terserlah kesungguhan serta matlamatnya ingin merubah pemikiran masyarakat mengenai makna sihat dan cergas.

Daripada pemakanan sehingga senaman dan di sebalik mitos yang sering diutarakan, dia memberikan pendapat berbeza. Benarlah pengalaman banyak mengajar pemilik Xclusive Fitnesz Murad Zaidi, 29, untuk tampil sebagai jurulatih peribadi kecergasan berdasarkan latihan dan berguru dengan mereka yang lebih profesional.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan kemudian dibesarkan di Queens, New York, Murad bukanlah calang-calang jurulatih kerana sudah berkecimpung dalam bidang sukan sejak berusia 15 tahun. Malah pada usia yang sama dia terpilih sebagai pemain bola sepak Amerika Syarikat selama dua tahun, kemudian mula aktif dalam seni bela diri muay thai dan tinju.

“Saya mula jatuh cinta dengan sukan ini dan menjalani latihan bersungguh-sungguh sehingga terpilih mengikuti pertarungan seni bela diri campuran di luar negara. Kemudian saya mencuba sukan tinju dan mendapati ia sangat menarik,” katanya yang mendapat bimbingan daripada jurulatih profesional seperti Milos Sarcev dari Serbia, Mike Passenier dari Amsterdam dan Jimmy Trupia dari New York.

Selepas puas menimba pengalaman di luar negara, menurut pemegang ijazah sarjana dalam bidang High Perfomance, Strength and Conditioning Specialist dari Universiti Cato’lica de Murcia, Sepanyol ini berasakan dia perlu kembali ke Malaysia bagi mencurahkan semua ilmu dalam kecergasan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya menjadi jurulatih bootcamp Malaysia kemudian bergiat aktif dalam tinju. Selepas mendalami keinginan serta rutin rakyat Malaysia dalam pemakanan, saya dapati bagaikan ada yang tidak kena. Saya perlu memperbetulkan keadaan dengan menjadi jurulatih kecergasan kepada mereka yang memerlukan.

“Tambahan pula ketika itu (2013), masyarakat mula memberikan perhatian kepada kesihatan dan inginkan badan yang cantik. Ramai mula menjalani latihan di gimnasium, lantas saya membuka Xclusive Fitnesz di Stadium Shah Alam,” kata jejaka yang berketinggian 178 sentimeter ini.

Katanya, permulaan kepada gimnasium ini kerana dia ingin menyediakan ruang selesa dan mampu milik untuk semua tidak kira lelaki atau wanita termasuk golongan profesional bagi menjalani rutin kecergasan.

Melihat persekitarannya, gimnasium berkeluasan 9,144 meter persegi ini sangat istimewa kerana latihan tidak bergantung kepada mesin semata-mata. Sebaliknya, ia adalah kem latihan menggabungkan elemen seperti tinju, muay thai dan zumba. Pendek kata ia menjadi pusat sehenti bagi mereka yang ingin bersenam di gimnasium dan pada masa sama, menjalani latihan berasaskan beberapa bentuk sukan.

Pakar dalam kecergasan

Menurut Murad, ketika di Amerika Syarikat dia banyak memerhati gaya hidup masyarakat di sana. Amalan hidup sihat sudah bermula sejak di sekolah apabila ada disediakan gimnasium untuk pelajar bersenam.

Berbeza dengan Malaysia, pelbagai faktor menyebabkan amalan pemakanan tidak sihat, lantas sesuatu harus dilakukan. Namun masalahnya apabila mereka sendiri tidak tahu mengenai kalori dalam makanan dan jumlah yang perlu dibakar.

“Saya mahu mengubah persepsi rakyat Malaysia mengenai pengambilan makanan sihat dan juga bersenam. Dalam hal ini pentingnya bertanya dengan mereka yang arif iaitu jurulatih kecergasan mengenai senaman dan pemakanan.

“Apa yang saya perhatikan, lebih ramai suka mencari menerusi Google dan YouTube dan menyangka apa yang dilihat dan dibaca itu benar sedangkan setiap orang memiliki badan dan jenis darah berbeza.

“Contohnya, berjoging untuk mereka yang mengalami obesiti hanya akan membuatkan kecederaan pada otot. Ada senaman lain yang lebih sesuai,” ujarnya yang pernah mendapat kepercayaan melatih pasukan bola sepak Barcelona dari segi pemakanan dan senaman.

Kepakaran Murad dalam transformasi badan dan kecergasan menyebabkan dia mendapat perhatian daripada atlet profesional dari dalam dan luar negara terutama dalam bidang tinju. Malah, Murad juga menjadi penasihat peribadi kepada selebriti, orang kenamaan dan keluarga diraja.

Jelasnya, di sebalik memberikan peluang bersenam, dia juga meminta kepada yang ingin menjalani latihan di Xclusive Fitnesz agar mendapatkan ujian kesihatan terlebih dahulu bagi menilai tahap kesihatan sebelum memberikan tumpuan kepada apa yang mereka inginkan.

“Ujian ini sangat perlu bagi mengelak individu pengsan atau lebih teruk meninggal dunia selepas menyertai latihan kerana ia pernah berlaku. Individu juga perlu menyatakan apa yang diingini sama ada mahu menurunkan berat badan, membina otot atau menjadi jurulatih kecergasan agar latihan sesuai dapat diberikan. Menariknya, sesi pemakanan juga akan diberikan.

“Mereka akan dididik untuk makan secara sihat. Paling utama tiada minyak, kurangkan garam dan gula. Saya juga tidak menggalakkan mereka terbiasa dengan ‘cheat day’ sebaliknya, boleh saja menikmati makanan yang disukai dengan syarat bersenam untuk membakar lemak,” katanya.

Tambah anak kedua daripada lima beradik ini, dia sering menasihati pelanggannya agar tidak melakukan senaman secara drastik bagi mendapatkan bentuk badan idaman sebaliknya konsisten dengan bersenam tiga kali seminggu selama 45 minit hingga satu jam.

Murad juga tidak menggalakkan mereka mengambil produk tambahan untuk kurus atau mendapatkan badan ‘berketul’ kerana tidak semua produk memberikan hasil sedemikian. Mereka perlu bijak membaca label kandungan bahan selain memastikan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain mengendalikan latihan fizikal, Murad Zaidi juga memberi ceramah menerusi Murad Zaidi Akademi serta menganjurkan seminar dan latihan untuk membantu mereka yang ingin menjadi jurulatih kecergasan secara profesional. Latihan diberikan lebih komprehensif membabitkan perkongsian pengetahuan mengenai etika dan sains di sebalik kecergasan badan sehingga ke pengkomersialan.

“Saya berharap untuk mengembangkan lagi perkhidmatan dalam sukan dan kecergasan serta mengukuhkan kehadiran dalam industri ini kerana saya mahu berkongsi semangat dan gaya hidup sihat kepada masyarakat. Saya mahu menjadi pemimpin dan duta dalam bidang ini. Inilah cara saya berdakwah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 12:55 PM