HADZRAH (dua dari kanan) bersama jurulatih kecergasan dan penari kanak-kanak.
HADZRAH (dua dari kanan) bersama jurulatih kecergasan dan penari kanak-kanak.
 PESERTA mengikut gerakan tarian ditunjukkan jurulatih.
PESERTA mengikut gerakan tarian ditunjukkan jurulatih.
 PENARI kanak-kanak diberi peluang tonjol bakat.
PENARI kanak-kanak diberi peluang tonjol bakat.
 JURULATIH kecergasan mengetuai langkah tarian.
JURULATIH kecergasan mengetuai langkah tarian.
PESERTA mengikut gerakan tarian ditunjukkan jurulatih.
PESERTA mengikut gerakan tarian ditunjukkan jurulatih.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Menari antara cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan dan kesegaran tubuh. Selain itu, tarian dengan kombinasi unik daripada latihan fizikal, interaksi sosial dan tumpuan dapat membantu menghilangkan tekanan, menambah tenaga dan stamina serta meningkatkan kekuatan otot tubuh.

Justeru tidak hairan tarian moden seperti zumba, hip hop dan salsa semakin diminati ramai tidak kira usia dan latar belakang hingga rutin tarian itu dijadikan kaedah menyeronokkan untuk meningkatkan kesihatan.

Menyedari kesedaran mengenai gaya hidup sihat melalui tarian semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, studio tarian Funky Fresh Studio menganjurkan program tarian Funky Fit Fever 2016 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program menggabungkan tarian kecergasan zumba, hip hop dan salsation itu menarik minat lebih 400 peserta pelbagai peringkat umur dan menariknya, ia turut disertai masyarakat berbilang bangsa.

Pengarah Urusan Funky Fresh Studio Siti Hadzrah Abd Rahim berkata, aktiviti tarian untuk kecergasan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, justeru, program itu diadakan khusus untuk mempromosi kesihatan dan kecergasan melalui tarian.

Tarian bukan saja dapat menjadikan regim senaman yang menarik malah memupuk budaya hidup sihat di saat negara berdepan kadar rakyat mengalami obesiti yang semakin meningkat setiap tahun.

“Ditambah dengan iringan muzik rancak, tarian dapat dilakukan dengan lebih menyeronokkan dan secara tidak langsung menjadikan regim senaman tidak lagi membosankan.

“Saya bersyukur kerana acara yang julung kali dianjurkan ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, termasuk lelaki yang mahu menjalani kehidupan lebih sihat,” katanya.

Menurut Siti Hadzrah, Funky Fit Fever 2016 turut mendapat sokongan beberapa studio tarian dan membabitkan ramai jurulatih tarian kecergasan di sekitar Lembah Klang.

“Beberapa rutin tarian dilaksanakan pada acara ini, antaranya zumba, hip hop dan salsation. Saya berharap program ini dapat dilaksanakan sebagai acara tahunan dan mengumpulkan lebih ramai peserta,” katanya.

Lebih cergas, turun berat badan

Sementara itu, salah seorang peserta Funky Fit Fever Kamarul Akma Khairuddin, 34, berkata, program itu menarik minatnya kerana selain dapat bersenam dengan cara yang lebih menghiburkan, dia dapat menambah kenalan baru yang berkongsi minat sama.

“Tambahan pula, dengan kehidupan di ibu kota yang sibuk, penyertaan program ini dapat membantu mengurangkan tekanan di samping meningkatkan kecergasan saya.

“Saya sendiri mengikuti latihan kecergasan Zumba sejak empat tahun lalu kerana menyedari pentingnya mengekalkan kesihatan melalui aktiviti ini lebih-lebih lagi selepas menginjak usia 30-an,” katanya.

Menurutnya, dia menghabiskan masa sekurang-kurangnya sekali seminggu dalam kelas zumba dan ditemani isteri jika berkelapangan.

Bagi peserta, Najwa Hazim, 34, pula begitu teruja menyertai program itu kerana dia baru saja berjinak mengikuti kelas hip hop dan zumba.

Katanya, semakin meningkat usia dia menyedari keperluan untuk kekal cergas terutama untuk membesarkan dua orang anaknya masing-masing berusia enam dan dua tahun.

“Suami pula memberi galakan penuh kepada saya untuk aktif dalam program kecergasan selepas melihat perubahan diri saya yang tidak lagi lesu dan berat badan menurun.

“Bayangkan saya baru saja berjinak-jinak dengan tarian kecergasan April lalu, tapi berjaya menurunkan berat badan sebanyak lapan kilogram. Sudah tentu saya akan terus terbabit aktif dalam program seumpama ini,” katanya.

Bagi jurulatih kecergasan zumba Mohd Hamka Md Seman, rutin tarian secara berkumpulan satu platform terbaik untuk peserta mengeratkan silaturahim sambil bersenam dan menambah kenalan baru.

Selain itu katanya, pembabitan pelbagai kaum juga dapat memupuk perpaduan kerana semua peserta dalam program itu tanpa mengira bangsa dapat bergaul dan bermesra.

“Sambutan luar biasa peserta menunjukkan semakin ramai yang mengambil berat mengenai kesihatan mereka, justeru, saya berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan secara berkala di serata tempat,” katanya.

Jurulatih kecergasan zumba, Tefany Al Bukhari pula berpendapat, ramai mengetahui latihan senaman konvensional amat membosankan, justeru melakukan latihan yang sama setiap hari dapat menurunkan tahap kecergasan seseorang.

“Di sinilah zumba sangat berguna dan jauh berbeza daripada latihan konvensional serta sangat menyeronokkan, mudah dan menarik sehingga anda dapat menikmatinya selama berjam-jam.

“Selain itu, ketika melakukan gerakan zumba, tubuh akan banyak mengeluarkan kalori daripada proses pembakaran lemak sehingga menyebabkan penurunan berat badan lebih cepat.

“Semakin ramai yang menjadikan tarian kecergasan sebagai rutin menurunkan berat badan yang secara tidak langsung membebaskan mereka daripada penyakit berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:30 AM