NABILA Huda.
NABILA Huda.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Nabila Huda aktif melakukan senaman dan mengawal pemakanan bagi mendapatkan bentuk tubuh ideal demi tuntutan dua watak yang bakal dijayakan bermula Disember depan.

Nabila atau mesra disapa Abil berkata, dia berazam untuk menurunkan sekurang-kurangnya 12 kilogram yang dianggap bersesuaian dengan watak yang bakal dilakonkannya itu.

"Saya mencintai setiap inci tubuh dan tidak mempunyai masalah sama ada kurus atau gemuk. Cuma, demi watak yang bakal memulakan penggambaran pada Disember depan, saya 'berkorban' dengan menjaga pemakanan serta bersenam.

"Jika diikutkan seumur hidup saya tidak pernah bersenam dengan rutin ketat sebegini, namun kali ini saya memang berusaha sehabis baik. Saya tidak makan sayur dan buah-buahan sebenarnya, tetapi demi pemakanan sihat, saya paksa juga diri.

"Bermula dengan berat 67 kilogram (kg), dalam tempoh tiga minggu saya berjaya turun lima kg. Banyak yang perlu saya korbankan contohnya dari segi rutin makan tengah malam yang kurang sihat.

"Tiada siapa yang meminta untuk saya kurus, cuma ini adalah inisiatif diri kerana saya rasa bersesuaian dengan watak," katanya.

Bagaimanapun, Nabila belum bersedia untuk berkongsi watak apa yang akan dilakonkannya itu.

Meletakkan sasaran untuk mencapai berat badan sekitar 55kg, Abil juga turut memulakan kelas Muay Thai dan melantik jurulatih peribadi.

Katanya, jurulatih itu turut memainkan peranan memantau pemakanannya setiap hari bagi memastikan berat idaman itu berjaya dicapai.

"Jadual harian saya padat ketika ini kerana dalam masa yang sama sudah memulakan penggambaran. Namun, saya menyukai kesibukan bekerja dan dalam masa yang sama mengamalkan gaya hidup sihat.

"Sebenarnya saya sudah biasa berdiet jika ingin memulakan sesuatu kerja, cuma kali ini berbeza kerana saya mendisiplinkan diri untuk bersenam. Bukan saja untuk menurunkan berat badan tetapi demi kesihatan dan stamina," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 4:54 PM