PROJECTOR Band
PROJECTOR Band
Najiy Jefri


Tanda tanya mengenai 30 lagu yang terpilih ke separuh akhir Muzik-Muzik 31 (MM31) terjawab selepas berlangsungnya sidang media anjuran TV3, kelmarin.

Daripada jumlah itu, hanya 12 lagu akan layak ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31 yang dijadualkan berlangsung pada Januari tahun depan.

Ia akan disenarai pendek menerusi dua siri persembahan separuh akhir yang berlangsung Jumaat ini (17 lagu) dan 11 November (13 lagu) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Melihat senarai pencalonan separuh akhir MM31 yang bakal memulakan saingannya Jumaat ini, tidak dinafikan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Selain itu lagu yang layak dilihat lebih berwarna apabila menampilkan banyak wajah baru untuk beri saingan sengit kepada penyanyi senior yang sudah sinonim dengan AJL.

Antara wajah baru itu ialah Syamel, Aiman Tino, Sufian Suhaimi, Ippo Hafiz, Ayda Jebat dan Projector Band, manakala penyanyi senior yang kerap muncul dalam AJL ialah Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Hafiz Suip, Hazama, Black dan Stacy.

Bagaimanapun, lima penyanyi yang layak ke separuh akhir iaitu Faizal Tahir, Tasha Manshahar, Amyra Rosli, KRU dan Stacy menarik diri atas sebab yang tak dapat dielakkan dan digantikan dengan penyanyi lain.

Faizal yang berduet dengan Elizabeth Tan dalam lagu Setia digantikan oleh Awi Rafael; Tasha (Ernie Zakri & Syed Shamim - Ragu-Ragu); Amyra (Aishah Bujang feat. Juzzthin & W.A.R.I.S - Ada Saja); KRU (Caliph Buskers - Hingga Ke Jannah) dan Stacy (Mimifly - Romeo).

Penerbit Eksekutif Muzik Muzik, Nurul Huda Khalid berkata, mereka yang digantikan itu mempunyai alasan kukuh dan dibenarkan untuk meneruskan perjuangan ke peringkat seterusnya.

“Mereka yang tidak terbabit tahun ini mempunyai alasan kukuh dan kami memberi kelonggaran kepada label dan komposer untuk menggantikan penyanyi lain kerana Muzik Muzik dianjurkan bertujuan mengiktiraf karya komposer serta penulis lirik.

“Jadi apabila lagu mereka mara ke peringkat separuh akhir, kami masih memberi peluang dan menghormati setiap keputusan penyanyi asal. Lagipun, bukan penyanyi ini tidak mahu mengambil bahagian tetapi mereka mempunyai komitmen yang lebih penting,” katanya.

Bertahan sebagai program pencarian lagu terbaik sejak 31 tahun lalu, Muzik Muzik diberi sentuhan baharu bagi menambat hati peminat terutama kelompok Gen Y.

Bukan sekadar carta dan berita industri muzik, sebaliknya program itu dibawa keluar dari studio dalam siri showcase yang diadakan sebulan sekali bagi memberi jalan pintas kepada lagu untuk mara secara automatik ke peringkat separuh akhir.

“Showcase Muzik Muzik diperkenalkan pada Mac sehingga Ogos lalu dan ia memberi peluang kepada lima lagu untuk mara ke separuh akhir. Lagu berkenaan adalah Darah Muda (Bunkface), Hidup Dalam Mati (Syamil), Obses (Akim & The Majistret), Sudah Ku Tahu (Projector Band) dan Hang Pi Mana (Khalifah),” katanya.

Bagaimanapun, Bunkface turut menarik diri dan mereka digantikan dengan Ezad Lazim yang membawa lagu Demi Cinta.

Ezad teruja layak di saat-saat akhir

Ezad ketika ditemui bersyukur apabila lagu ciptaan bersama Iman Imran dan Mohd Yasin bakal berentap bersama 30 lagu lain di peringat separuh akhir.

Menurut Ezad, dia sudah lama tidak beraksi di pentas berprestij itu dan apabila dimaklumkan pada saat-saat akhir, dia begitu teruja dan akan memberikan yang terbaik pada persembahan itu nanti.

“Saya tidak letak harapan tinggi untuk lagu ini terpilih ke AJL, tetapi saya akan melakukan sehabis baik demi peminat dan penulis lirik lagu ini.

“Lagipun sejak tampil solo, saya belum pernah mara ke peringkat separuh akhir MM31. Saya anggap ini adalah rezeki pemberian Allah. Doakan semoga semuanya berjalan lancar,” katanya yang kini mengalami masalah usus sejak Jun lalu.

Biarpun belum pulih sepenuhnya, Ezad sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik menjelang pertandingan itu nanti.

“Sekarang kesihatan saya sudah 80 peratus pulih daripada penyakit tetapi saya perlu mengawal pemakanan dan tidak boleh makan dengan kuantiti banyak dalam satu-satu masa.

“Insya-Allah doakan penyakit yang dialami ini tidak menganggu perjalanan pusingan separuh akhir ini nanti,’ katanya.

Selain itu, seorang lagi penyanyi yang menarik perhatian ialah penyanyi popular, Jaclyn Victor.

Jika AJL 28 lalu dia berjaya menggondol Vokal Terbaik buat kali keempat menerusi lagu Ikut Rentakku, kali ini dia tampil mempertaruhkan lagu berjudul Seindah Mimpi ciptaannya dan Edry Abdul Halim.

“Sebenarnya saya tak suka menyertai pertandingan nyanyian kerana ia buat saya jadi gemuruh. Bagaimanapun, ini adalah tanggungjawab yang perlu digalas dan saya akan lakukan sehabis baik.

“Terus terang, lagu yang mara ke peringkat separuh akhir tahun ini sangat hebat dan begitu popular di laman YouTube. Saya rasa tahun ini saingan sangat sengit dan tidak boleh berasa selesa,” katanya.

Bagi Dayang pula, tahun ini dia berasa lebih seronok untuk bertanding memandangkan nama yang tercalon ke peringkat separuh akhir antara nama-nama besar dan dikenali.

“Kalau dulu saya sedikit kekok kerana ramai wajah baru yang bertanding, tetapi tahun ini rasa lebih seronok kerana ada kawan yang saya kenal seperti Jaclyn Victor, Misha Omar dan Hafiz,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 12:05 PM