KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak (depan) bersama  barisan finalis Muzik-muzik Separuh Akhir 33 bergambar bersama pada Sidang Akhbar Muzik-Muzik Separuh Akhir 33 di Bukit Kiara. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak (depan) bersama barisan finalis Muzik-muzik Separuh Akhir 33 bergambar bersama pada Sidang Akhbar Muzik-Muzik Separuh Akhir 33 di Bukit Kiara. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
Najiy Jefri


SEPARUH akhir Muzik Muzik 33 (MM33) menyaksikan pola perubahan apabila pencalonan kali ini turut menyaksikan kehadiran semula penyanyi berpengalaman untuk beradu suara dengan penyanyi baru atau lebih dikenali sebagai BBNU (Budak Baru Nak Up).

Antaranya kemunculan semula Siti Sarah Raissuddin selepas sedekad menyepi yang mempertaruhkan lagu Semakin hasil nukilan komposer Mera Utama dan Liza Hanim menerusi Mimpi ciptaan Hafiz Hamidun, manakala lirik oleh Fedtri Yahya.

Ini termasuk Dayang Nurfaizah apabila tiga lagu nyanyiannya iaitu Dia, Layarlah Kembali dan Haram yang menemukannya dengan Hael Husaini.

Tidak ketinggalan Misha Omar dengan lagu Sampai Bila ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri.

Pertembungan dua generasi ini pastinya menjanjikan persaingan sengit pada acara separuh akhir MM33 kali ini.

Penerbit Eksekutif MM33, Nurhul Huda Khalid berkata, ramai artis yang membuat kemunculan semula menyerlah tahun ini apabila lagu mereka meraih carta teratas MM33 hingga membolosi peringkat separuh akhir.

“Tahun ini Separuh Akhir MM33 memperlihatkan ramai penyanyi berpengalaman beradu suara dengan penyanyi BBNU.

“Kami lihat artis yang membuat kemunculan semula ini berjaya menduduki carta teratas MM33 tahun ini apabila lagu mereka menjadi popular dan diminati.

“Sudah lama Muzik Muzik tidak melihat persembahan penyanyi berbakat besar seperti Siti Sarah dan Liza Hazim membuat kemunculan di Muzik Muzik. Kali terakhir mereka membuat persembahan pun sedekad lalu,” katanya.

Menurut Nurhul, pihaknya tak sabar mahu melihat kehebatan penyanyi lama dan baru berkongsi pentas dalam acara yang dinanti-nantikan semua orang.

“Kami mengharapkan ada magis yang bakal dilakar setiap penyanyi yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir ini.

“Pihak kami juga berharap setiap penyanyi yang mengambil bahagian dapat memberikan persembahan terbaik kerana semua 30 lagu yang terpilih mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.

Separuh akhir MM33 kali ini mempertaruhkan 30 lagu yang dipilih hasil undian peminat di carta MM33 dan bakal bersaing merebut 12 tempat untuk ke Anugerah Juara Lagu (AJL) yang dijangka berlangsung tahun depan.

Menurut Nurhul Huda, kehadiran bakat muda juga tidak bersandar kepada populariti semata-mata, sebaliknya kemampuan mereka turut dinilai berdasarkan kekuatan keseluruhan sesebuah lagu, selain vokal dan kualiti penyampaian.

“Kemampuan BBNU yang kini menjadi dambaan ramai tidak boleh dipertikai kerana MM33 bukan bersandar kepada populariti semata-mata sebaliknya pencalonan turut melihat kekuatan keseluruhan sesebuah lagu.

“Kami yakin cabaran untuk melangkahkan kaki ke malam kemuncak AJL33 nanti sangat sengit, tetapi memberikan pelbagai warna yang menghangatkan lagi persaingan separuh akhir,” katanya.

Semua lagu terbabit bakal bersaing selama tiga minggu pada 9, 16 dan 23 November ini di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam yang disiarkan secara langsung menerusi TV3.

Ia menampilkan gandingan Sherry Al-Hadad dan Haziq Hot FM sebagai pengacara.

Senarai lagu layak ke Separuh Akhir MM33

9 November

1. Di Matamu - Sufian Suhaimi (Sirkhan & Rinkarnaen)

2. Dia - Qody (Ippo Hafiz)

3. Kata Akhirmu - Ariff Bahran (Rudy Kasmaran/Jimmy Asmara/Sang Hitam)

4. Bercanda di Malam Indah - Kugiran Masdo (Ali Sariah)

5. Sesungguhnya Aku - Alif Satar (Faizal Tahir/Romeo/Mike Chan/Ezra Kong)

6. Mimpi - Liza Hanim (Hafiz Hamidun/Fedtri Yahya)

7. Seindah Berdua - Dewi Seriestha (Dewi Seriestha)

8. Dia - Dayang Nurfaizah (Omar K/Ezra Kong/Hael Husaini)

9. Semakin - Siti Sarah (Mera Utama)

10. Tak Pernah Hilang - Amylea X Kaer (Farouk Roman/Amylea)

11. Hikayat Ben Ladin - Ben Ladin (Dedeq & Malique)

16 November

1. Bunga - Altimet (Omar K & John Jeevasingam/Altimet)

2. Luluh - Khai Bahar (Khai Bahar)

3. Rahsia Kita - Khai Bahar & Fatin Husna (Harris Yusoff/Jim Bimasakti)

4. Stereotype - Akim & The Majistret (Laq/Hang Nadim)

5. Sulit - Aman Aziz (Asfan Shah/Asfan Shah & Fedtri Yahya)

6. Bunga - Ara Johari (Hang Nadim/Laq/Kadok)

7. Jagakan Dia - Shiha Zikir (Ippo Hafiz)

8. Haram - Hael Husaini & Dayang (Hael Husaini/Ezra Kong)

9. Demi Kita - Ismail Izzani (Omar K/Ezra Kong & Adib Hamdi/Omar K, Adib Hamdi & Ismail Izzani)

10. Cakap Ke Tangan - Stacy (Hang Nadim & Laq/Hang Nadim)

11. Kau Pun Sama - Syamel (Syamel & Kidd Santhe/Syamel)

23 November

1. Selamat Tinggal Sayang - Haqiem Rusli (Haqiem Rusli/Haqiem Rusli/Ibnu)

2. Jatuh Bangun - Haqiem Rusli ft Aman Ra (Haqiem Rusli, Omar K & Ikhwan Fattana/Omar K, Ikhwan Fattana & Aman Ra

3. Hajat - Hael Husaini (Hael Husaini/Ezra Kong)

4. Layarlah Kembali - Dayang Nurfaizah (Aubrey Suwito/Ad Samad)

5. Nisan Cinta - Siti Nordiana & Jaclyn Victor (Hael Husaini/ Mike Chan/Ezra Kong)

6. Rintihan Rindu - Wany Hasrita (Ibnu/Gouffran)

7. Kisah Antara Kita - One Avenue Band (Reyhan)

8. Sampai Bila - Misha Omar (Sharon Paul/Fedtri Yahya & Shah Shamshiri)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 6:58 AM