Tiong Lai pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Beijing, hari ini. FOTO Bernama
Tiong Lai pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Beijing, hari ini. FOTO Bernama
Shariffudin Mohamed

Beijing: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta kerajaan China mempertimbangkan beberapa permohonan daripada Penerbangan Malaysia dan AirAsia untuk meningkatkan perkhidmatan masing-masing ke negara berkenaan.

Katanya, Penerbangan Malaysia meminta kebenaran ruang masa yang penumpang boleh tiba di destinasi di China pada masa sesuai, terutama pada waktu siang.

Contohnya, kata beliau, sekarang penumpang tiba tengah malam sebelum memasuki hotel dua jam selepas itu.

"Kalau tiba di destinasi pada waktu petang boleh melegakan penumpang," katanya kepada media Malaysia selepas mengunjungi Menteri Pengangkutan China yang baharu, Li Xiao Peng di sini, semalam.

Beliau berkata, Penerbangan Malaysia turut meminta kelulusan melakukan penerbangan kargo dari Kuala Lumpur ke Zheng Zhou, China sebelum terus ke New Delhi, India.

Ini berdasarkan peraturan 5th freedom flight undang-undang penerbangan antarabangsa.

Pada masa ini, pesawat kargo Penerbangan Malaysia terpaksa ke Kuala Lumpur semula sebelum meneruskan perjalanan ke New Delhi.

Ini boleh meningkatkan kerjasama antara Malaysia-China-India.

Bagi AirAsia, Tiong Lai berkata, ia memohon tambahan 2 destinasi baru iaitu Nanjing dan Wuxi, dua bandar taraf kedua di China.

Pada masa ini, AirAsia terbang ke 19 destinasi di China 

"Saya membawa isu ini pada Li dan beliau memberi reaksi positif," katanya.

Katanya, beliau juga meminta China membenarkan Southern Air membuat penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka setiap hari berbanding sekarang setiap Jumaat melalui penerbangan sewa khas.

Mengenai dakwaan DAP projek Kereta Api Pantai Timur bernilai RM55 bilion terlalu mahal, Tiong Lai berkata, itu hanya pinjaman daripada China dengan kadar faedah kompetitif,  bukan nilai sebenar projek terbabit.

"Mana boleh kerajaan menyembunyikan nilai projek sebab pakar-pakar boleh membuat taksiran sendiri mengikut butiran projek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 9:24 PM