AIRASIA sumbang 80 peratus daripada jumlah penumpang. FOTO fail NSTP
AIRASIA sumbang 80 peratus daripada jumlah penumpang. FOTO fail NSTP
Nabil Basaruddin


KIRA-KIRA 80 peratus daripada empat juta trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor disumbangkan oleh operasi dari syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, tanggal 20 Disember adalah tarikh istimewa dan bersejarah untuk sektor penerbangan negara apabila lapangan terbang itu meraikan kejayaan menerima lebih empat juta penumpang pada tahun ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) atas kemajuan yang dicapai oleh pengendali lapangan terbang antarabangsa itu.

“Tahniah SATSSB kerana berjaya mengendalikan lebih empat juta penumpang pada tahun ini.

“Malah, kami juga berbangga untuk mengetahui bahawa lebih 80 peratus daripada jumlah itu disumbangkan oleh penerbangan daripada AirAsia,” katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat. FOTO Saddam Yusoff
KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat. FOTO Saddam Yusoff

AirAsia ketika ini mengendalikan 223 penerbangan setiap minggu yang beroperasi dari dan ke Senai yang menghubungkan Johor secara terus dengan 10 bandar domestik serta destinasi seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan China.

Riad berkata, kunci di sebalik perkongsian yang berjaya ini adalah kepentingan yang diletakkan pada kerja berpasukan sebagai cara untuk meningkatkan kecekapan operasi.

“Derick Basir dan pasukannya sentiasa ada untuk terbabit dan berbincang dengan pasukan kami.

“Tumpuan selalu dilakukan bagi menjaga pelanggan untuk apa yang kami semua lakukan, termasuklah secara fizikal mahupun digital, bergabung untuk mewujudkan perjalanan yang lancar dari awal hingga akhir,” katanya.

Dalam pada itu, SATSSB turut mengumumkan projek pengembangan lapangan terbang berkenaan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta memandangkan ia sudah mencapai kapasiti maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 7:30 AM