Pemain Malaysia Norsyafiq Sumantri dicabar Page Nick. FOTO BERNAMA
Pemain Malaysia Norsyafiq Sumantri dicabar Page Nick. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Johor Bahru: Skuad hoki remaja negara gagal mengutip mata pertama selepas dikecewakan England 1-3 pada perlawanan pembuka tirai Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.

Pada awal permainan barisan pertahanan negara berjaya mematahkan beberapa serangan yang dilakukan England yang turun selaku antara pasukan pilihan kejohanan itu.

Kekebalan benteng pertahanan Malaysia akhirnya berjaya ditembusi oleh England menerusi gol padang Page Nick m-18 sebelum skuad hoki remaja negara menyamakan kedudukan menerusi jaringan gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook lima minit kemudian.

Kegembiraan skuad negara tidak kekal lama apabila pasukan pelawat memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Will Calnan seminit kemudian.

Pada babak kedua perlawanan England melengkapkan kemenangan menerusi gol padang Christopher Proctor m-60 selepas menewaskan penjaga gol Malaysia Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 10:42 PM