Najiy Jefri


Tiada angin tiada ribut, kebahagiaan yang sedang dicipta pelakon kacak Chris Hemsworth dengan isteri yang dikahwini sejak 2010, Elsa Pataky dilaporkan menghadapi masalah.

Menurut sumber dari Woman’s Day Australia, pasangan romantik itu dikatakan menghadapi pelbagai isu dan sering bergaduh, malah Chris serta Elsa juga dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dan sedang dalam proses untuk berpisah.

Lebih mengejutkan, baru-baru ini Elsa dilihat bercuti ke Sepanyol tanpa kehadiran Chris sehingga timbul dakwaan hubungan yang dibina sudah tidak lagi harmoni.

“Mereka berdua sudah membuat keputusan untuk berpisah buat sementara waktu. Semoga hubungan jarak jauh ini akan menerbitkan rasa cinta di antara mereka.

“Bagaimanapun, mereka mempunyai beberapa isu yang perlu diselesaikan. Ini kerana perkara itu turut diketahui dalam kalangan kalangan rakan mereka,” kata sumber berkenaan.

Sebaik berita berkenaan tersebar di Internet, pelakon yang popular dengan watak ‘superhero’ Thor itu tidak menunggu lama untuk memberikan penjelasan mengenai status rumah tangganya.

Tidak mahu khabar angin mengenai rumah tangganya menjadi perbualan ramai, pelakon kacak itu tampil memberi penjelasan dengan cara yang cukup lucu di laman sosial Instagram miliknya.

“Menurut portal itu saya dikatakan sedang mencari isteri baru dan terdapat juga beberapa cerita yang tidak benar. Sayang, awak masih cintakan saya, kan?” tulis Chris yang menyindir media yang menulis berita salah mengenai rumah tangganya.

Sementara itu, menerusi gambar itu, Chris dan Elsa dilihat mesra di atas sebuah kapal pelayaran mewah.

Menurut seorang lagi sumber kepada portal PEOPLE, berita perpisahan pasangan itu adalah tidak benar sama sekali dan mereka sebenarnya sedang bahagia bersama tiga anak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 10:25 AM