ANTARA aksi pasukan MRF tahun lalu.
ANTARA aksi pasukan MRF tahun lalu.
Ibrahim Isa


Johor Bahru: Peminat sukan permotoran jangan melepaskan peluang menyaksikan Malaysian Rally 2016 yang akan dilancarkan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim di Padang B, Plaza Angsana, Johor Bahru, jam 8.45, malam ini.

Pengurus Kejohanan Malaysian Rally 2016, Mohd Kurnia Abdol Sakor berkata, kejohanan ke-12 itu diadakan selama dua hari bermula esok.

Beliau berkata, semua perlumbaan sebanyak 14 peringkat akan diadakan di Ladang Kelapa Sawit Tai Tak dan Ladang REM milik JCorp di Kota Tinggi.

“Sebanyak 25 pasukan akan memeriahkan perlumbaan kali ini termasuk pasukan dari Finland, Australia, India, Jepun, Jerman dan Malaysia yang bertanding menerusi 13 kategori.

“Kami menganjurkan dua kejohanan secara serentak iaitu Pusingan Kelima FIA Asian Pacific Rally Championship (tujuh kategori) dan pusingan ketiga AAM Malaysian Rally Championship (6).

“Bagi memeriahkan kejohanan ini, pemenang pertama hingga ketiga keseluruhan FIA Asian Pacific Rally Championship akan memenangi AS$5,000 (RM21,000), AS$3,000 (RM12,600) dan AS$1,000 (RM4,200) serta trofi, manakala pemenang kategori lain menerima trofi,” katanya.

Menurutnya, bagi peserta AAM Malaysian Rally Championship pula, pemenang akan membawa pulang trofi dan markah
dikumpul ke pusingan keempat di Perak, 3 Disember ini.

Katanya, bagi perlumbaan tahun ini, jarak keseluruhan litar sejauh 234.6 kilometer membabitkan tiga bahagian iaitu ibu pejabat rali di Angsana untuk kerja baik pulih kenderaan, tempat pelepasan dan penamat. Pusat kedua pula di Hotel Grand Paragon sebagai pusat kawalan serta media manakala pusat ketiga adalah di trek di Kota Tinggi sejauh 577.57 kilometer.

Menurutnya, bagi memastikan orang ramai dapat menonton Malaysian Rally 2016, pihaknya mencari jalan paling hampir dengan jalan utama seperti berhampiran persimpangan Jalan Kulai-Kota Tinggi-Johor Bahru di Ladang Tai Tak.

Walaupun mempunyai pengalaman 12 tahun menganjurkan kejohanan ini, kami tidak pernah memandang ringan aspek keselamatan. Sebab itu, kami memastikan walaupun orang ramai boleh menonton kereta berlumba di trek, kedudukannya lebih rendah dan jauh dari kawasan orang ramai.

Menurutnya, pada masa sama, pameran kereta dan jualan di Plaza Angsana akan diadakan bagi membolehkan peminat Rally datang melihat kereta dibaiki, diservis serta membeli cenderahati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:52 AM