KERETA yang dipandu Roduwan bersama pembantunya Amirul, terbabas dan terjunam dalam parit di tepi ladang.
KERETA yang dipandu Roduwan bersama pembantunya Amirul, terbabas dan terjunam dalam parit di tepi ladang.
AKSI Karamjit ketika di peringkat akhir.
AKSI Karamjit ketika di peringkat akhir.
PASUKAN rali sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik.
PASUKAN rali sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik.
PASUKAN yang menang turut bergambar kenangan bersama Pengurus Besar UMW Grantt International Sdn Bhd, Amri Hasim (kiri).
PASUKAN yang menang turut bergambar kenangan bersama Pengurus Besar UMW Grantt International Sdn Bhd, Amri Hasim (kiri).
ZAIDI Tajudin (kiri) bersama Penyelaras Program MRC 2016, Mohd Kurnia Abdol Sakor.
ZAIDI Tajudin (kiri) bersama Penyelaras Program MRC 2016, Mohd Kurnia Abdol Sakor.
Noor Hidayah Tanzizi


Mendebarkan! Itu yang dirasai penonton apabila melihat kereta Proton Satria yang dipandu laju

di litar terbabas dan terjunam ke dalam parit pada Kejohanan Rali Malaysia (MRC) 2016 di Ladang Bukit Kota, Gelong Pepuyu, Manjung, Perak.

Penonton menjerit melihat insiden itu sebelum penulis bersama rakan media lain mendekati lokasi kejadian kira-kira 100 meter dari kawasan dikhaskan kepada media.

Bagaimanapun, debaran penonton yang bimbang berlaku kejadian tidak diingini kepada pemandu serta penumpang berakhir apabila kedua-dua mereka selamba keluar dari kereta berkenaan.

Kedua-duanya cuba masuk semula ke dalam kereta untuk meneruskan perlumbaan, namun kerosakan teruk pada jentera termasuk di bahagian enjin menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Menceritakan detik cemas itu, pemandu jentera daripada pasukan One Motor Sports Bagan Datoh Rally Team, Roduwan Rashid, 39, berkata, pada mulanya dia bersama pembantu, Amirul Zahri Sazali, 32, berada di kedudukan kedua, namun masalah tayar bocor di peringkat kelima menyebabkan pasukan itu jatuh ke kedudukan keempat.

Disebabkan mahu mengejar kembali kedudukan kedua, One Motor Sports Bagan Datoh Rally Team cuba memintas pasukan lain namun masalah teknikal menyebabkan mereka terkandas.

“Saya tidak menyedari parit di situ menyebabkan kami terbabas, namun bersyukur tiada kecederaan dan menerimanya dengan reda kerana ini antara cabaran yang perlu dilalui.

“Jenis tayar yang tidak sesuai dengan keadaan jalan antara penyumbang kejadian ini membuatkan saya agak terkilan kerana tidak dapat menghabiskan peringkat kesembilan ini.

“Namun begitu masih berbangga kerana pada peringkat sebelum ini, pasukan kami berada pada kedudukan kedua di belakang juara rali, Karamjit Singh,” katanya yang menyertai rali sejak 2004.

Sementara itu, pelumba rali negara, Karamjit Singh, 55, berkata, dia meminati perlumbaan rali dan mula bergiat aktif dalam bidang ini sejak berusia 24 tahun.

Karamjit memenangi pusingan akhir di Perak, sekali gus dinobatkan juara MRC 2016 bagi kategori 2WD dan meletakkan sasaran 10 tahun lagi untuk terus aktif dalam dunia rali.

“Dunia rali menarik minat saya sejak muda lagi, apatah lagi saya gemar mengawal kenderaan dalam keadaan laluan berlecak dan licin.

“Usia bukan penghalang untuk terus aktif dalam bidang ini dan saya bersyukur dengan kemenangan kali ini biarpun persediaan dibuat pada saat terakhir, namun berbekalkan semangat dan pengalaman membantu saya bergelar juara,” katanya yang sudah beberapa kali memenangi Asian Pacific Rally Champion (APRC).

MRC yang dianjurkan Wheel Sport Management Sdn Bhd berlangsung selama dua hari dan berakhir pada 4 Disember lalu dengan pembabitan UMW Grantt International Sdn Bhd sebagai penaja premium pada kali ini.

Timbalan Pengarah Kejohanan dan Program, Zaidi Tajudin berkata, kejohanan tahunan yang diperkenalkan sejak 2002 meliputi perlumbaan sejauh 120 kilometer dan membabitkan sembilan peringkat di tiga trek utama di Ladang Gelong Gajah di Beruas dan Bukit Kota di Gelong Pepuyu.

“Kejohanan akhir ini disertai 14 pasukan, dua daripadanya peserta Jepun dengan kategori utama (2WD) dan empat roda (4WD).

“Kami mengekalkan konsep terbuka dengan membawa pertandingan rali kepada penduduk setempat bagi membolehkan masyarakat melihat lebih dekat sukan lasak ini tanpa dikenakan bayaran dan kita juga memberi peluang pekerjaan kepada 74 penduduk tempatan sebagai marsyal kejohanan.

“Kategori baru bakal dibuka pada tahun akan datang bagi membolehkan jentera pacuan empat roda menyertai rali.

“Setakat ini ia masih dalam perancangan dan penelitian, namun sudah ada permintaan untuk kategori ini dan dijangka mampu menarik penyertaan dari luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2016 @ 12:21 PM