SUTAN Mustaffa Salihin (kiri) bersama Shahrol Zainal (kanan) menjuarai perlumbaan Rally of Thailand 2022. FOTO Sutan Mustaffa Salihin
SUTAN Mustaffa Salihin (kiri) bersama Shahrol Zainal (kanan) menjuarai perlumbaan Rally of Thailand 2022. FOTO Sutan Mustaffa Salihin
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Tidak sehangat seperti sukan permotoran yang lain, namun siapa sangka pelumba rali negara, Sutan Mustaffa Salihin bersama juru arah, Shahrol Zainal berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila menjuarai perlumbaan Rally of Thailand 2022, baru-baru ini.

Gandingan negara yang mempertaruhkan jentera Subaru Impreza WRX 2000cc 4WD Turbo itu berjaya mengungguli dua pusingan perlumbaan yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu di Rayong, Thailand sebelum memastikan gelaran juara keseluruhan menjadi milik mereka.

Lebih manis, kejayaan itu diraih pada penampilan pertama mereka dalam kejohanan yang kini sudah memasuki edisi ke-35 dan mampu menyaingi 17 pesaing dari negara tuan rumah dan juga Jepun.

Sutan Mustaffa yang mula aktif dalam sukan rali dan lumba kereta sejak 1997 berkata, apa yang dikecapi bersama pasukannya ketika ini adalah hasil tunjuk ajar daripada pelumba yang lebih berpengalaman.

"Ini adalah pertama kali kali menyertai kejohanan ini tapi disebabkan ada pelumba yang lebih berpengalaman banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar.

"Jadi kami gunakan ia sebaiknya dan alhamdulillah kami berjaya menjadi juara keseluruhan. Malah, pasukan lain juga memandang kami dengan rasa kagum," katanya kepada Arena Metro.

Pelumba berusia 50 tahun itu juga mengakui tekad mereka untuk mengharumkan nama negara tetap membara biarpun menggalas tugas sebagai wakil negara dan kejohanan terbabit selain terpaksa hadir dengan bajet yang paling terhad.

"Pada awal perancangan akan ada lima buah kereta dari Malaysia yang akan meyertai kejohanan kali ini tapi kesemuanya atas bajet persendirian. Tapi yang lain terpaksa menarik diri di saat akhir kerana masalah kewangan.

"Jadi, akhirnya kami saja yang pergi dengan kos, bajet, kru, paling minima tetapi kami tetap menyediakan kereta yang paling terbaik," kata Sutan Mustaffa yang pernah menjadi jurulatih pemanduan dan tunggangan di beberapa buah institusi memandu.

Dalam masa sama, dia berharap agar kegemilangan sukan rali ini mampu dilembalikan di bumi Malaysia kerana itu juga adalah harapan daripada penggemar tempatan yang lain.

Untuk rekod, Sutan Mustaffa adalah pelumba ketiga negara yang meraih gelaran juara keseluruhan Rally of Thailand selepas Karamjit Singh dan Saladin Mazlan.

Selain itu, dia pernah bergelar naib juara keseluruhan bagi Malaysian Super Series di Litar Antarabangsa Sepang pada 2012 sebelum menjuarai perlumbaan 2WD Malaysian Rally Championship 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 2:03 PM